Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Tanglung disambut penuh kemeriahan

    TAIWAN – Beribu-ribu orang di Taiwan dan China meraikan Pesta Tanglung pada Rabu lalu dengan melepaskan tanglung kertas ke langit malam, melawat pemasangan hiasan cahaya warna-warni serta menjamu ladu nasi pulut.

    Percutian itu menandakan berakhirnya tempoh Tahun Baharu Cina dan disambut setiap tahun pada hari ke-15 bulan pertama kalendar lunar.

    Pada Festival Tanglung Langit Pingxi di utara Taiwan, beribu-ribu pengunjung berbaris dalam hujan untuk menyala dan melepaskan tanglung hajat.

    Antara yang hadir ialah Mae Alegonero dan Shine Ceralvo, rakan dari Filipina yang bekerja di tengah Taiwan.

    Mereka memutuskan untuk menyertai acara itu selepas melihat imej tanglung terapung yang menjadi trend terkini di TikTok.

    Orang ramai melepaskan tanglung langit dalam harapan meraih tuah dan kemakmuran semasa Festival Tanglung di Bandar Taipei Baharu, Taiwan. – AP
    Dewa Kemakmuran mengetuai perarakan untuk memberkati orang ramai pada Festival Tanglung. – AP
    Seorang kanak-kanak meneka teka-teki tanglung, aktiviti tradisi semasa Festival Tanglung di Beijing. – AP
    Orang ramai bersedia melepaskan dua tanglung dalam bentuk ular semasa Festival Tanglung di Taiwan. – AP
    Pelakon opera Cina menunggu di belakang pentas sebelum pertunjukan Festival Tanglung di Beijing. – AP

    “Awda hanya mengalaminya sekali dalam seumur hidup,” kata Alegonero, ketika dia berteduh di bawah payung bersama rakannya dan menunggu perayaan bermula.

    Beberapa pelawat datang dari negara sejauh Eropah dan Amerika Latin untuk menyaksikan sendiri imej ikonik tanglung kertas yang memenuhi langit malam.

    Penduduk kampung di Taiwan mula menggunakan tanglung kertas lebih seabad yang lalu untuk menandakan kepada orang lain bahawa adalah selamat untuk kembali selepas penyamun menyerang komuniti mereka sebelum itu.

    Hari ini, tanglung membawa harapan keamanan dan kemakmuran pada Tahun Baharu.

    Bagi Charlotte Cadinot, seorang pelajar pertukaran dari Perancis, tarikannya terhadap tanglung hajat bermula apabila dia menonton filem Disney ‘Tangled,’ yang memaparkan ade-gan di mana Puteri Rapunzel dan kekasihnya membuat hajat pada tanglung terapung di atas tasik.

    Cadinot dan teman lelakinya, Remi Delmas, mencipta semula adegan itu sehingga ke satu tahap apabila mereka menulis hasrat bersama mereka sendiri pada tanglung sebelum melepaskannya ke langit.

    Sebanyak sembilan gelombang tanglung dilepaskan diselangi dengan persembahan muzik dan tarian sebagai sebahagian daripada perayaan itu.

    Pertunjukan yang menjadi tumpuan utama pada malam itu adalah sepasang tanglung berwarna merah jambu dan emas berbentuk ular sepanjang 12 kaki (3.6 meter), sebagai tanda penghargaan kepada Tahun Ular.

    Penduduk di China juga meraikan Pesta Tanglung, walaupun tiada acara yang dianjurkan secara rasmi di sana yang menyaksikan pelepasan tanglung kertas dalam jumlah besar-besaran.

    Sebaliknya, penduduk Beijing beratur untuk mendapatkan ladu nasi pulut – makanan snek yang paling dicari-cari semasa festival itu – dan menyaksi pertunjukan cahaya di seluruh bandar. Yang terbesar dalam kalangan mereka adalah kunjungan ke Taman Ekspo Taman Beijing, di pinggir bandar, yang mempamerkan lebih daripada 10,000 pemasangan dalam pelbagai saiz dan reka bentuk.

    Beberapa karya adalah sehingga 60 kaki (18 meter) tinggi dan menggambarkan segala-galanya daripada mercu tanda budaya kepada simbol tradisional seperti Dewa Kekayaan, naga dan burung phoenix kepada tafsiran moden seperti hiasan kepala opera Beijing gaya siberpunk. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda