Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Teater Nasional Brunei dirasmikan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Festival Teater Nasional Brunei (NTFB) yang membawa tema ‘New Beginning’ secara rasminya dilancarkan malam tadi bertempat di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

    Festival yang diadakan untuk mempamerkan kumpulan teater tempatan tersebut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bank Baiduri merupakan anjuran 247 Studios bersama rakan-rakan kreatif Medley House Productions, The Creative Core BN dan Just Bruneians.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ke majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap di KKBS dan para pegawai kanan KKBS. Juga hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui; Pengarah Pusat Kesenian JIS, Jon-Mark Nesbitt dan Ian Chan selaku pengurus agensi di CTRL Creative.

    Awang Mohd Syazni bin Haji Abu Bakar selaku pengarah NTFB Co-Festival dan pengarah urusan 247 Studios memulakan acara dengan ucapan perasmian. Beliau antara lain mengongsikan bahawa NTFB adalah projek yang telah dirancang selama tiga tahun dan diilhami oleh Festival Teater Belia Asia serantau.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa melawat ke salah sebuah petak pameran yang terdapat di sana.

    “Alhamdulillah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita mengalami ‘gelombang baharu’ industri kreatif. kita telah menyaksikan lebih banyak persembahan, acara seni, filem tempatan, dan banyak lagi karya kreatif yang dihasilkan di negara ini.

    Sebagai sebuah negara, kita mesti menganggap ini sebagai tanda positif kerana pertumbuhan ini dapat membantu meningkatkan ekonomi kreatif kita,” kata beliau dalam ucapannya.

    Tetamu kehormat kemudian diperkenalkan kepada lapan kumpulan teater yang mengambil bahagian. Manakala majlis penyampaian hadiah cenderahati kepada para penaja juga turut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis pada malam tadi.

    Lapan buah kumpulan teater tempatan yang mengambil bahagian ialah 247 Studios, Bruhaha Comedy, Brunei Amateur Dramatic Society, Kumpulan Putra Seni, Medley House Productions, Relentless Entertainment & Academy of Performing Arts, Salted Egg Theatre dan Sutera Memento.

    Ti Eng Hui juga mengongsikan bahawa sokongan Bank Baiduri terhadap perkembangan seni kreatif tempatan menggambarkan komitmen mereka untuk menghubung dan berbakti kepada masyarakat.

    Beliau selain itu menyatakan keyakinannya terhadap kesenian yang memainkan peranan penting dalam memperkaya kehidupan dan mengeratkan jalinan hubungan dalam masyarakat.

    Di samping itu, beliau turut meluahkan perasaan bangga kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada festival yang julung kalinya diadakan.

    Sementara itu, Jon-Mark Nesbitt turut berbesar hati menjadi rakan penyedia tempat bagi acara tersebut dan berharap dapat terus menyokong industri seni persembahan di negara ini.

    Setiap kumpulan akan membuat sebuah persembahan dan mengendalikan satu sesi bengkel di sepanjang berlangsungnya festival berkenaan iaitu dari hari ini sehingga hingga awal Ogos depan.

    Persembahan teater akan disampaikan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris berlangsung selama lebih kurang 50 minit. Bengkel pula adalah peluang bagi orang ramai untuk mempelajari bidang teater dari penulisan skrip hingga ke bidang lakonan dan aspek sosial teater.

    Tiket untuk menghadiri bengkel dan persembahan bolehlah didapati dengan melayari laman web NTFB ataupun juga boleh didapati di depan pintu masuk.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda