PEKON, MYANMAR – Lereng bukit Myanmar yang hangus dilingkari api, memuntahkan asap warna kuning tanah yang menghalang cahaya matahari dalam pemandangan teruk seakan-akan dalam filem seram.
Tetapi penduduk kampung yang membakarnya menari di bawah dalam upacara meraikan kebakaran besar-besaran sebagai detik kebangkitan semula dan harapan.
“Ia adalah tradisi diwarisi daripada nenek moyang kami,” kata Joseph, seorang ketua belia dari kampung Tha Yu di negeri Shan timur Myanmar.
“Ia adalah satu-satunya cara kami hidup,” tambah Joseph, yang hanya menggunakan satu nama.
Setiap tahun antara Januari dan April, Asia Tenggara dibelenggu asap daripada petani yang menyalakan api untuk membersihkan tanah, melepaskan pencemaran mikroskopik PM 2.5 yang melapisi paru-paru dan memasuki aliran darah.
Penduduk Myanmar kehilangan jangka hayat 2.3 tahun akibat pencemaran daripada kebakaran ladang dan sumber lain, menurut analisis data 2022 oleh Institut Dasar Tenaga di Universiti Chicago.
Sejak rampasan kuasa 2021, negara itu telah berpecah-belah akibat perang saudara antara tentera dan partisan anti-rampasan kuasa serta kumpulan bersenjata etnik minoriti, menyebabkan kematian akibat pencemaran diabaikan.
Tetapi di kampung Tha Yu timbulnya ketegangan tambahan – antara cara pertanian lama dan pengetahuan baharu tentang risiko alam sekitar.
“Kami tidak mempunyai kerja atau peluang lain di rantau kami,” kata Joseph, 27, ketika jerebu menelan bukit di belakangnya, membakar hangus untuk memberi laluan kepada penanaman padi, cili dan jagung.
“Jadi kami dipaksa mengamalkan tradisi ini setiap tahun.”
‘TIDAK MENJADI KAYA’
Kebanyakan pembakaran pertanian berlaku apabila petani membakar tunggul hasil tuaian lama di ladang mereka untuk memberi ruang kepada penanaman yang baharu, selain menyuburkan tanah.
Tetapi asap yang berkepul-kepul di sekitar kampung Tha Yu adalah daripada pertanian ‘tebas dan bakar’ – kaedah yang juga dipanggil penanaman pindah, di mana sebahagian tumbuh-tumbuhan liar dibakar untuk tujuan yang sama, dengan tanaman ditanam hanya untuk beberapa kitaran penanaman sahaja.
“Kalau boleh, kami mahu mencuba kaedah pertanian lain tetapi kami tidak mempunyai sebarang teknologi dan tiada siapa yang mengajar kami,” ujar Joseph.
Pencinta alam sekitar secara amnya mengatakan pertanian tebang dan bakar boleh menjadi dua kali lebih berisiko disebabkan ia membunuh kawasan hidupan tumbuhan sedia ada yang sebaliknya akan menyerap pelepasan karbon dioksida.
Namun kajian pada tahun 2023 di Belize mencadangkan perladangan ‘tebas dan bakar’ Orang Asli yang dilakukan di kawasan tanah bersaiz sederhana boleh memberikan kesan positif ke atas kepelbagaian hutan dengan membuka ruang untuk penanaman baharu.
Dalam upacara Tha Yu, penduduk kampung dalam pengikat kepala putih menari di atas pentas sebelum menyalakan seberkas berus dalam tanda simbolik, melenggok-lenggokkan badan sambil bertepuk tangan mengikut rentak muzik.
Jalur-jalur asap gelap kelihatan menyusup naik ke langit.
“Saya pastinya boleh mengatakan kami tidak menjadi kaya daripada penanaman pindah,” kata Khun Be Sai, ahli jawatankuasa kebudayaan tempatan.
“Kami melakukannya hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup hari ke hari.”
PERALIHAN MINDA
Pemantauan kualiti udara tidak praktikal mahupun satu keutamaan di Myanmar yang dilanda perang, di mana lebih separuh penduduk hidup dalam kemiskinan dan 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Namun kesan teruk daripada pencemaran udara hanya menambah masalah yang dihadapi.
“Udara bersih adalah amat penting untuk kesihatan awda,” kata ahli ekonomi alam sekitar Universiti Kasetsart Thailand, Witsanu Attavanich.
“Ia merupakan perkara asas.
“Jika awda tidak memilikinya awda mempunyai orang yang kurang sihat, kualiti modal insan yang lebih rendah. Bagaimana negara boleh berkembang maju tanpa kesihatan yang baik?”
Tha Yu terletak di kawasan yang dikawal oleh Parti Tanah Baharu Kayan, kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Khun Be Sai berkata ratusan kampung di rantau itu masih mengamalkan pertanian tebas dan bakar, tetapi Tha Yu adalah satu-satunya tempat yang mengamalkannya dengan upacara rasmi.
Tetapi dia tidak melihat sebab yang kukuh untuk meraikannya dalam landskap yang berubah akibat perubahan iklim di sekitar kampung itu.
“Kami mengalami lebih banyak bencana alam. Hutan semakin tipis dan simpanan air semakin berkurangan. Kami mengalami hakisan tanah disebabkan hujan lebat,” katanya.
Sementara upacara itu memuji amalan yang mengekalkan komuniti mereka, Khun Be Sai juga melihat kemerosotan cara hidup mereka.
“Penduduk meninggalkan kampung dan tinggal di tempat lain,” katanya.
“Identiti kita, asal-usul kita, bahasa dan kesusasteraan semakin lenyap dan ditelan tradisi lain.” – AFP