Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival terokai khazanah alam sekitar Ulu Temburong Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    NEGARA Brunei Darussalam merupakan sebuah negara kecil di Kepulauan Borneo namun terkenal dengan kehijauan bumi yang memiliki kekayaan sumber-sumber khazanah alam semula jadi yang unik dan indah, yang pastinya turut dihuni oleh kepelbagaian flora dan fauna yang begitu menakjubkan.

    Justeru, dalam usaha meningkatkan semangat kecintaan masyarakat kepada khazanah alam semula jadi di negara ini, Festival Alam Semula Jadi Brunei 2018, baru-baru ini, telah diadakan di The Atrium, Airport Mall, Berakas selama tiga hari bermula pada 9 hingga 11 Februari lalu.

    Pelancaran festival yang dianjurkan oleh Ulu-Ulu National Park Resort, BruWILD dan Sunshine Borneo Tour itu telah dirasmikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Festival yang mengetengahkan keunikan dan keindahan flora dan fauna yang terdapat di Taman Negara Ulu Temburong Brunei itu sememangnya mampu mendidik minda dan hati para pengunjung khususnya dalam kalangan masyarakat tempatan dan juga dunia luar amnya untuk lebih menyemai sifat kepekaan dan menghargai alam semula jadi ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala yang tiada tandingannya di dunia ini.

    Membongkar khazanah alam

    Taman Negara Ulu Temburong terletak di bahagian selatan Daerah Temburong pastinya menyimpan pelbagai rahsia khazanah semula jadi yang sangat berharga bagi negara ini. Sebagai sebuah taman negara yang pertama di negara ini, ia setentunya dapat meningkatkan potensi eko pelancongan sekali gus mampu menaiktarafkan martabat negara di mata dunia.

    Dato Seri Setia Haji Ali ketika merasmikan Festival Alam Semula Jadi 2018 yang berlangsung di The Atrium, Airport Mall, Berakas baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Urusan, Ulu-Ulu National Park Resort, Awang Anthony Chieng, dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Pelancaran Festival Alam Semula Jadi Brunei 2018 lalu, Taman Negara Ulu Temburong itu bukanlah sekadar hidupan liar, bahkan ia boleh menjurus kepada sektor pelancongan kesihatan kerana melaluinya ia mampu memberi ketenangan kepada para pengunjung untuk menikmati keindahan alam yang sebenar.

    Apa yang menarik sepanjang festival itu berlangsung ialah pameran seni fotografi berkonsepkan flora, fauna dan landskap di Taman Negara Ulu Temburong karya para penggiat fotografi tanah air dan juga para pengkaji.

    Lebih 15 buah karya telah dipamerkan yang mana setiap gambar yang ditonjolkan sememangnya memiliki nilai kreativiti dan suatu estetika yang tersendiri sehingga mampu memberi tarikan yang hebat kepada para pengunjung.

    Festival ini turut mempamerkan spesies burung enggang yang jarang sekali ditemui di dunia dan dikenali sebagai Helmeted Hornbill Feeding serta boleh ditemui di Taman Negara Ulu Temburong. Ia merupakan spesies yang paling ganas dari lapan spesies burung enggang di Kepulauan Borneo dan memakan tanaman buah yang terdapat di kawasan kanopi.

    Serangga yang disebut sebagai ‘Dead Leaf Mantis’ juga turut dipamerkan dalam bentuk fotografi yang mana serangga itu menunjukkan aksinya dengan mengangkat sepasang kakinya ke udara jika menerima ancaman. Selain itu serangga ini juga mampu menyerupai daun mati yang telah rosak dengan tujuan melakukan penyamaran sebelum menyerang mangsanya.

    Suasana pameran seni fotografi berkonsepkan flora, fauna dan landskap di Taman Negara Ulu Temburong oleh para penggiat fotografi tanah air dan juga para pengkaji.
    Sebahagian pengunjung yang mengikuti aktiviti Night Walk Tunnel.
    Antara wakil agensi yang sama menjayakan Festival Alam Semula Jadi 2018.
    Sebuah karya telah dipamerkan dari spesies burung enggang yang dikenali sebagai ‘Helmeted Hornbill Feeding’ yang jarang ditemui di dunia dan Taman Negara Ulu Temburong merupakan salah satu tempat yang mempunyai haiwan unik ini.

    Selain serangga, turut dipamerkan ialah Tortoise Beetle, seekor kumbang berbentuk kecil, bulat dan juga berbentuk kura-kura dan dirakamkan oleh salah seorang penggiat seni fotografi semasa pengembaraannya di Taman Negara Ulu Temburong. Kumbang yang memiliki sayap yang keras berbentuk kubah ini mampu menyembunyikan diri daripada musuhnya.

    Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pameran flora yang unik dikenali sebagai ‘Bioluminescent Fungi’. Keistimewaan spesies ini, ia mampu memberi pancaran cahaya kehijauan secara berterusan pada waktu malam.

    Ibarat berada di dalam hutan

    Di samping itu, apa yang menarik lagi para pengunjung turut berpeluang untuk mengikuti aktiviti Night Walk Tunnel, di mana kira-kira dalam masa kurang dari tiga minit, mereka diberikan suatu gambaran untuk merasakan pengalaman sebenar berada di dalam hutan yang gelap dengan aroma daun-daun serta pokok-pokok semula jadi.

    Salah seorang pengunjung yang tidak mahu disebutkan namanya semasa ditemui wartawan Media Permata mengungkapkan perasaan teruja kerana berpeluang untuk memasuki lorong itu dan merasakan sendiri bagaimana keadaan hutan yang sebenar ditambah lagi dengan adanya bunyi-bunyi burung dan serangga serta dapat menghidu bau daun-daun kering dan suasana yang segar.

    Karya yang mempamerkan salah satu flora yang unik dikenali sebagai ‘Bioluminescent Fungi’ turut dapat dilihat oleh para pengunjung semasa festival itu berlangsung.
    Serangga yang disebut sebagai ‘Dead Leaf Mantis’ juga turut dipamerkan dalam sebuah karya fotografi semasa Festival Alam Semula Jadi 2018 baru-baru ini.

    Salah satu aktiviti yang diadakan ialah pertandingan mewarna bertemakan alam semula jadi.

    Pelbagai agensi dan aktiviti

    Sepanjang festival itu berlangsung, terdapat 10 petak pameran dan jualan bertujuan untuk memberi pelbagai ilmu pengetahuan dan kesedaran kepada para pengunjung mengenai alam semula jadi khususnya flora dan fauna yang terdapat di negara ini.

    Antara yang terlibat ialah Persatuan Alam Semula Jadi Brunei, Jabatan Perkembangan Pelancongan, Bahagian Hidupan Liar di bawah KSSUP dan BruWILD.

    Di samping itu, pakej-pakej pelancongan yang menarik turut disediakan sepanjang festival itu berlangsung, antaranya pakej pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer yang diungkayahkan oleh pelbagai agensi pelancongan swasta di negara ini, Ulu-Ulu National Park Resort, pakej penginapan alam semula jadi dan pakej menerokai burung-burung.

    Pelbagai aktiviti dan permainan yang berunsur pendidikan alam semula jadi telah diadakan, antaranya cabaran meneka kotak misteri, pertandingan mewarna, perlawanan meniru suara burung, memerhatikan burung dan sebagainya

    Begitulah suasana Festival Alam Semula Jadi 2018 yang berjaya memberigakan detik-detik keindahan khazanah semula jadi di Ulu Temburong Brunei kepada masyarakat di negara ini, di samping mendidik masyarakat agar menanamkan rasa tanggungjawab dalam memelihara alam semula jadi di bumi yang tercinta ini.

    Ini kerana manusia dan alam mempunyai hubungan yang sangat rapat. Apa yang pasti kedua-dua entiti ini sememangnya tidak dapat dipisahkan, jika ia terpisah maka rosaklah manusia, binasalah alam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda