Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
PENULIS cuba mengingat kembali kenangan zaman anak-anak muda berpakaian pada tahun 1960-an dan 1970-an. Ianya sangat jauh berbeza jika dibandingkan pada hari ini, khususnya bagi remaja-remaja lelaki pada ketika itu di mana mereka suka memakai baju yang cantik dan kemas (sama ada berlengan pendek atau panjang), berseluar panjang melebar kebawah dan mengenakan rambut fesyen ala-ala penyanyi barat seperti kumpulan The Beatles.
Manakala fesyen pakaian anak-anak muda lelaki pada tahun 1970-an pula mula berubah iaitu seluar panjang ketat dan bersaiz kecil ke bawah mengikut fesyen pemakaian penyanyi zaman ‘pop yeh yeh’. Kemudian saiz baju dipakai menurut bentuk badan, gaya rambut panjang mencecah dahi sehingga bentuk telinga pun tidak kelihatan oleh kerana ditutupi oleh rambut. Pada zaman dahulu, anak-anak mudanya tidak menghisap rokok. Mereka menghabiskan masa berjalan-jalan di kawasan Bandar Brunei, melihat tempat-tempat menarik seperti kawasan luar Lapau Diraja, Arca Sir Winston Churchill dan Lapangan Terbang Lama Berakas.
Sementara pada setiap hari Ahad, golongan remaja ini gemar menonton wayang berunsurkan kisah koboi dengan harga tiket serendah 50 sen sahaja. Ada juga daripada mereka ini mengunjungi Tamu Mingguan berdekatan dengan Kampung Sultan Lama; lorong-lorong di Panggung Borneo dan kawasan kedai Park Koon. Setelah penat berjalan di sekitar Bandar Brunei, mereka ini akan singgah masuk ke kedai minum yang ada pada ketika itu. Kedai-kedai minum atau restoran pada dahulunya didominasi oleh peniaga-peniaga bangsa Cina. Kenangan semasa zaman remaja ini tidak akan dilupakan oleh penulis dan berharap ia akan menjadi ristaan untuk generasi baru pada masa ini.



