LAGOS, NIGERIA – Aktivis iklim remaja di bandar terbesar Nigeria sedang mengitar semula bahan buangan menjadi pakaian untuk digayakan di pentas peragaan ‘Pertunjukan Trashion’.
Chinedu Mogbo, pengasas Inisiatif Hidupan Liar Greenfingers, kumpulan pemuliharaan yang bekerjasama dengan aktivis, berkata pertunjukan itu bertujuan menambah kesedaran mengenai pencemaran alam sekitar.
Lagos, salah sebuah bandar yang mempunyai paling ramai populasi di Afrika dengan 15 juta penduduk, menghasilkan sekurang-kurangnya 12,000 tan metrik bahan buangan sehari, menurut pihak berkuasa. Dan pelaksanaan undang-undang alam sekitar adalah lemah, dengan Bank Dunia mengunjurkan pencemaran membunuh sekurang-kurangnya 30,000 orang di bandar ini setiap tahun.
Pertunjukan tahun ini diadakan selepas pemimpin dunia menghadiri rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berlangsung selama dua minggu di Mesir.
Dalam kolaborasi dengan aktivis muda dan model, Inisiatif Hidupan Liar Greenfingers berkata ia berusaha mengitar semula seberapa banyak plastik yang mungkin, dalam satu komuniti pada satu masa.
Ia sering menganjur kempen pembersihan sampah dalam kalangan masyarakat, di pantai dan kawasan penyaliran.
Sampah plastik seterusnya digunakan untuk dikitar menjadi fabrik untuk pertunjukan fesyen.
Menampilkan fesyen sudu plastik merah dan fabrik, Nethaniel Edegwa, 16 tahun, berkata dia menyertai edisi tahun ini sebagai model ‘untuk membawa perubahan.’
“Kita boleh melihat bahawa kita semua terjejas oleh perubahan iklim, maka saya benar-benar ingin memberikan impak kepada komuniti menerusi pertunjukan ini,” kata Edegwa. – AP
