MILAN – Penampilan sulung Louise Trotter sebagai pengarah kreatif di Bottega Veneta baru-baru ini mengandungi detik-detik fantasi yang paling jelas pada rumbai yang melantun pada kot dan berpusar seperti bulu berkilat pada skirt dan jaket yang berkilauan.
Trotter, seorang pereka British yang menyertai Bottega Veneta pada Januari lalu, merupakan salah seorang daripada empat pengarah kreatif yang membuat penampilan sulung mereka yang ditunggu-tunggu di Milan musim ini, mengikuti Demna di Gucci, Simone Bellotti di Jil Sander dan Dario Vitale di Versace.
‘BOTTEGA’ BERMAKSUD BENGKEL
Bottega Veneta mempunyai beberapa tukang kraf terbaik dalam fesyen mewah Itali, dan Trotter berkata mereka merupakan inspirasi kepada koleksi Musim Bunga-Panas 2026 beliau.
“Saya berada dalam persekitaran penuh warna-warni,” kata Trotter, yang menyertai Bottega pada Januari lalu dan sebelum ini merupakan pengarah kreatif di Joseph, Lacoste dan kemudian Carven. “Ia merupakan pintu masuk yang paling indah ke dalam studio ini, untuk menemui hasil seni dan ketukangan tangan.
Beberapa helai telah diinspirasikan oleh artisan di atelier Veneto yang akan sibuk bekerja dengan bahan-bahan berselerak di sekeliling mereka, Trotter berkata beliau ingin mencipta pakaian yang sesuai dengan badan sama ada di bahagian dada, pinggang dan pinggul, bahkan tidak melekap pada tubuh.
Koleksi itu beralih daripada kot pic biru laut yang berfungsi dengan perincian kulit bersimpul yang membuka pentas persembahan kepada lapisan demi lapisan kot berjumbai putih dipakai dengan kolar knit lembut yang mempunyai corak timbul kecil seperti biji popcorn.
SIMPULAN DAN TENUNAN BOTTEGA
Trotter bekerja dalam kod Bottega Veneta bagi tenunan intreccio dan simpulan, menggunakan bulu, kulit dan satin. Intreccio itu muncul sebagai kot dan seluar serta beg, dan simpulan yang membentuk beg dan kasut slip-on.
Beg besar yang lembut memberi penghormatan kepada era 1966-1977 bagi studio itu, di mana Trotter menemui beg dalam arkib yang mempunyai fungsi yang mengiringi ‘pembebasan wanita pada masa itu.’
“Pertunjukan ini benar-benar mengenai perjalanan dan kehidupan Bottega Veneta,” kata Trotter. “Saya ingin bercakap tentang Bottega Veneta sebagai jenama yang kekal hidup,” tambahnya. – AP











