FGV sasar raih manfaat susulan langkah Indonesia batal larangan eksport

KUALA LUMPUR, 25 MEI – FGV Holdings Bhd yang mempunyai kira-kira lima peratus ladang sawit di Indonesia, menjangkakan dapat meraih manfaat susulan keputusan Jakarta menarik balik larangan eksport komoditi tersebut, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Mohd Nazrul Izam Mansor berkata harga minyak sawit mentah di Malaysia diunjur berkurangan sekitar RM4,200 hingga RM5,000 satu tan.

“Kami berharap dapat memperoleh semula kerugian yang dialami bagi tempoh tiga minggu (pelaksanaan larangan eksport) tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini, hari ini.

Indonesia telah mengumumkan larangan eksport minyak sawit mulai 28 April berikutan kekurangan global selain lonjakan harga minyak makan di peringkat dunia.

Langkah yang bertujuan mengurangkan kenaikan harga minyak masak bagi kegunaan penggunaan tempatan, bagaimanapun telah ditarik balik pada 23 Mei lepas.

Sementara itu, mengulas isu pekerja, Mohd Nazrul berkata syarikat itu masih mampu menguruskan perniagaannya pada kapasiti penuh biarpun mengalami masalah kekurangan 30 peratus pekerja asing atau 10,000 pekerja.

“Kami telah mengubah sedikit cara bekerja dan berharap kedatangan mereka tidak lama lagi akan dapat meningkatkan lagi pengeluaran minyak sawit,” katanya.

Menurutnya, FGV juga dalam peringkat mengerakkan pelan hala tuju syarikat untuk menerajui agenda keselamatan atau jaminan makanan negara.

“Salah satu inisiatif terbesar yang sedang kami lakukan adalah (kerjasama) dengan syarikat yang berpangkalan di Qatar, Baladna Dairy Facility. Kerjasama yang dimeterai pada 2019 itu akan membabitkan pembangunan projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis,” katanya.- Bernama