PUTRAJAYA, 27 Feb – Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan barangan yang didaftarkan dan beroperasi di Sabah dan Sarawak akan diseragamkan menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) bermula 1 April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui oleh jemaah menteri hari ini bagi mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang adil dan kompetitif antara pemilik-pemilik kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak.
Pada masa ini, kriteria bagi perkiraan fi LKM kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak adalah berbeza iaitu perkiraan LKM di Sabah menggunakan asas Berat Dengan Muatan (BDM) manakala perkiraan LKM di Sarawak pula menggunakan asas BTM.
“Ini bermakna, semua transaksi permohonan baharu atau pembaharuan LKM kenderaan perdagangan di negeri Sabah akan menikmati kadar yang baharu mulai 1 April,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata penyeragaman itu melibatkan 14 kategori atau kod penggunaan kenderaan barangan di Sabah.
Menurut Loke, perbezaan kadar LKM itu kerap dibangkitkan oleh komuniti perniagaan di Sabah kerana ia menyumbang kepada kos menjalankan perniagaan yang tinggi serta mewujudkan suasana persaingan yang tidak seimbang di antara kedua negeri.
Sebagai contoh perbezaan kadar fi LKM lori penggerak utama kontena dengan berat yang sama, Sabah yang menggunakan kriteria BDM membayar RM2,478 manakala Sarawak (BTM) hanya dikenakan RM718, katanya.