MEXICO CITY, 30 OKT – Red Bull didenda A$7 juta kerana melanggar peraturan kewangan Formula Satu (F1) tetapi tidak ditolak mata daripada keseluruhan musim 2021 kata badan induk sukan permotoran itu baru-baru ini.
Red Bull juga akan dihukum dengan 10 peratus pengurangan daripada apa yang dibenarkan untuk kajian aerodinamik.
FIA mengesahkan pasukan itu, yang membawa Max Verstappen meraih kejuaraan mengatasi Lewis Hamilton tahun lalu, berbelanja melebihi A$2.15 juta pada 2021.
Pemotongan 10 peratus itu pula akan dikenakan apabila mereka menggunakan terowong angin atau dinamik komputer untuk membina jentera mereka.
Ketua Red Bull, Christian Horner berkata penalti berkenaan adalah ‘besar’.

“Saya dengar orang berkata ia bukan penalti yang teruk, tapi kurang 10 peratus ujian di terowong angin dan peralatan lain untuk aerodinamik ialah penalti yang berat,” kata Horner.
“Ia boleh menyebabkan kurang setengah pusingan. Ia akan memberi kesan kepada kemampuan kami untuk beraksi pada tahun depan.”
Katanya denda itu menyebabkan ‘sejumlah besar wang’ perlu dicari dalam tempoh 30 hari namun menegaskan bahawa perbelanjaan lebih dibuat mereka bukanlah disebabkan pembangunan jentera.
Ketua McLaren, Zak Brown berkata tindakan Red Bull adalah sama seperti menipu, satu tuduhan yang disokong oleh ketua-ketua pasukan lain, termasuklah Ferrari dan Mercedes, yang mungkin berasa kecewa dengan keputusan FIA itu.
Ramai orang jangkakan pengurangan terowong angin sebanyak 25 peratus. – AFP