ITALI, 3 JULAI – Seorang mekanik dan YouTuber dari Itali, Andrea Marazzi, baru-baru ini telah mencuri perhatian media antarabangsa selepas mengubah suai sebuah Fiat Panda 1993 menjadi kereta boleh pandu paling sempit di dunia.
Kereta unik yang digelar Flat Fiat itu kelihatan seolah-olah dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), namun kereta tersebut merupakan ciptaan sebenar seorang mekanik muda yang berhasrat membina kereta boleh pandu paling sempit pernah wujud.
Walaupun mengekalkan kebanyakan komponen asal Fiat Panda 1993, model khas ciptaan Marazzi itu hanya selebar 50 sentimeter dan hanya dapat memuatkan seorang pemandu sahaja serta satu lampu hadapan untuk kegunaan waktu malam.
Marazzi mengambil masa 12 bulan untuk membina Flat Fiat secara manual menggunakan ‘99 peratus daripada bahagian asal’ Fiat Panda 1993, termasuk mengekalkan keempat-empat tayar walaupun kerangkanya amat sempit.
Flat Fiat yang sepenuhnya dikuasakan elektrik itu mempunyai ketinggian 145 cm, panjang 340 cm, lebar 50 cm serta memiliki berat hanya 264 kilogram.
Disebabkan saiznya yang kecil, kereta itu hanya mampu mencapai kelajuan maksimum 15 km/j dan mempunyai jarak perjalanan sejauh 25 km bagi setiap cas penuh.
Angka itu mungkin tidak mengagumkan, namun Flat Fiat bukanlah kenderaan yang sah untuk digunakan di jalan raya. Sebaliknya, itu hanya sebuah projek yang dibina untuk menarik perhatian serta mempromosikan perniagaan barangan lusuh Marazzi. – Agensi


