KUALA LUMPUR, 2 MEI – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menjelaskan bahawa keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan adalah berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024/2025.
MFL dalam satu kenyataan memaklumkan jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses penyerahan dokumen dalam sistem pelesenan AFC CLAS sebelum atau pada tarikh akhir asal iaitu 30 April lepas.
Namun, badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu menjelaskan atas permohonan bertulis daripada beberapa kelab, pihak FIB telah mempertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir kepada 10 Mei depan.
“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8(a).
“Dengan lanjutan masa itu, MFL berharap agar kelab-kelab terlibat dapat memuat naik dokumen selewat-lewatnya pada tarikh akhir baharu iaitu sebelum atau pada 10 Mei 2025,” menurut kenyataan itu. – Bernama
