Penyanyi Fieya Julia mendedahkan pernah mengalami fasa kemurungan akibat kurang mendapat tawaran kerja selain terlalu memikirkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung.
Fieya atau Nur Safiyah Sajali, 24, memberitahu pandangan dan harapan orang sekeliling terhadap dirinya juga membuatkan dia merasa tertekan sehingga emosinya terjejas.
“Saya tertekan sebab perlu jalani hidup jauh dengan keluarga di Kuala Lumpur. Banyak benda nak kena fikir terutamanya melibatkan wang. Kerja pun tidaklah banyak sangat.
“Jadi keadaan tiada duit itu membuatkan saya terlalu berfikir sehingga memberi kesan kepada diri sendiri. Memanglah ada kawan, tetapi saya tidak boleh nak teruskan harapkan pertolongan orang.
“Dalam masa sama selepas saya bertudung ramai yang terlalu mengharapkan saya menjadi seorang yang lebih baik sedangkan saya masih lagi belajar ke arah itu. Ia juga menjadi punca saya tertekan,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.
Fieya sebelum ini meluahkan perasaan dan situasi yang pernah dialami sebelum ini menerusi beberapa hantaran di Instastory miliknya.
Tambah penyanyi lagu Perasaanku ini, dia pernah menghilangkan diri sehingga salah seorang rakannya terpaksa menghubungi pihak bomba untuk memecah masuk ke dalam rumahnya.
Bagaimanapun kata Fieya, dia cuba untuk aktif dalam dunia penstriman untuk lari daripada masalah tekanan selain mahu mencari duit menampung kehidupan. – Agensi