Saturday, February 8, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fieya Julia kurang sensasi

    Sejak diperkenalkan dalam dunia hiburan dua tahun lalu, nasib cukup menyebelahi penyanyi remaja, Fieya Julia (gambar bawah), 20, apabila tiada cerita panas yang melingkari hidupnya berbanding rakan seangkatan lain.

    Mungkin itu juga satu petanda baik buat si empunya diri kerana setakat ini, Fieya masih mampu untuk bertahan tanpa sebarang kisah sensasi yang boleh mencalarkan reputasi diri. Namun situasi itu ada juga kontranya apabila hingga saat ini namanya tidak segah rakan seperjuangan lain.

    Fieya berkata, situasi yang sering berlaku padanya adalah masih tidak ramai yang mengenali dirinya dan lagu yang dinyanyikan walaupun sering berkumandang di corong radio.

    “Ada yang kenal saya, tetapi tak tahu lagu apa yang dinyanyikan. Apabila ada yang tahu lagu, tetapi tak kenal pula siapa penyanyinya, malah segelintirnya menyangka saya adalah selebriti media sosial.

    “Berdasarkan situasi ini, saya tahulah berada dalam kedudukan mana dalam industri. Pun begitu ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Saya tak kisah pun lambat dikenali, asalkan orang kenal Fieya Julia berdasarkan bakat dan bukannya kerana cerita sensasi.

    “Seboleh mungkin saya akan cuba mengelak terpalit dengan kontroversi. Saya takut dan tak bersedia berdepan kisah yang memalukan,” katanya media.

    Walaupun pecutan kerjaya seninya bergerak perlahan, namun bagi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia lebih selesa bermula dari bawah dan menimba seberapa banyak pengalaman. “Tiada guna cepat popular, tetapi tak mampu bertahan lama.

    “Biarlah saya kekal dengan cara begini dan terus menghasilkan karya yang boleh memuaskan hati peminat. Saya percaya apabila rezeki tiba, orang akan kenal saya dan lagu nyanyian.

    “Buat masa ini, tumpuan saya untuk terus mengukuhkan nama dalam industri. Selepas ini, saya akan merakamkan single baharu dan kembali ke rentak balada selepas lagu Jangan Gila yang bergenre rancak sebelum ini,” ujar penyanyi berusia 20 tahun ini.

    Bercerita mengenai lagu terbaharunya, pemilik nama sebenar, Nur Syafiyah Sejali itu mengaku teruja kembali merakamkan lagu dalam genre yang digemarinya.

    “Jujurnya, lagu berentak balada menjadi kegemaran saya, sejak dulu lagi. Bagi saya, menyanyikan lagu kisah putus cinta sangat mudah untuk menghayatinya walaupun saya belum pernah bercinta. Kalau setakat cinta monyet adalah dahulu.Entah mengapa, agak sukar untuk saya menjiwai lagu berentak rancak. Tetapi, apabila dapat lagu yang meruntun jiwa, amat mudah saya menyelami emosinya.

    “Tak kisahlah jika ada yang nak gelar saya penyanyi jiwang kerana lagu seperti ini dekat dengan jiwa,” jelas Fieya yang popular dengan lagu Perasaanku dan Seperti Ini. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda