Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    FIFA ancam tidak siar Piala Dunia Wanita

    BERLIN, 2 MEI – Badan induk bola sepak FIFA mengancam untuk tidak menyiarkan Piala Dunia Wanita 2023 ke lima negara Eropah susulan perselisihan pendapat mengenai hak media.

    Kejohanan itu akan diadakan di Australia dan New Zealand pada musim panas ini, selaku tuan rumah.

    “Tawaran daripada penyiar, terutama di lima negara Eropah, masih sangat mengecewakan dan tidak boleh diterima,” kata presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan yang disiarkan pada petang kelmarin.

    Infantino tidak menamakan negara terbabit namun menurut maklumat agensi berita Jerman dpa, antara negara itu ialah Jerman.

    Perlawanan akhir Euro wanita 2022 yang menyaksikan Jerman tewas kepada England merupakan program yang paling banyak ditonton di televisyen Jerman tahun lepas dengan 17,952 juta penonton.

    Beliau berkata sekiranya tawaran terus tidak adil, terhadap wanita dan bola sepak wanita, pihaknya terpaksa tidak menyiarkan Piala Dunia Wanita FIFA di lima negara itu.

    Infantino berkata perbezaan masa antara Eropah dan dua negara tuan rumah tidak sepatutnya menjadi alasan.

    Infantino berkata FIFA memainkan peranannya dengan menaikkan hadiah wang tunai kepada AS$152 juta, tiga kali ganda jumlah yang dibayar pada 2019 dan 10 kali ganda lebih berbanding tahun 2015. – Bernama

    Gianni Infantino memegang bola rasmi Piala Dunia Wanita FIFA 2023 semasa sidang media di ibu pejabat WTO di Geneva. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda