LOS ANGELES, 10 April – Jawatankuasa Penilaian FIFA melancarkan jelajah pemeriksaan selama lima hari ke Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico semalam ketika bidaan bagi Piala Dunia 2026 memasuki persaingan sengit.
Dengan hanya berbaki dua bulan sebelum undian yang akan menentukan tuan rumah bagi kejohanan itu dalam tempoh lapan tahun, delegasi FIFA memulakan kunjungan ke Amerika Utara di Mexico City.
Delegasi akan memeriksa kemudahan-kemudahan yang dicadangkan bagi Piala Dunia 2026, termasuk stadium, kemudahan latihan dan pangkalan kem pasukan.
Pegawai-pegawai FIFA akan mengunjungi Atlanta, Toronto, New York dan New Jersey ketika lawatan tersebut, yang akan berakhir pada Jumaat ini.
Bidaan bersama Amerika Utara secara meluas dilihat sebagai pendahulu bagi perebutan 2026 itu, dengan Maghribi adalah satu-satunya pesaing bagi kejohanan yang dikembangkan kepada 48 buah pasukan itu.
Bidaan AS-Mexico-Kanada sudah menghasilkan kekaguman, stadium-stadium moden bagi bidaannya, pertimbangan utama bagi ketua-ketua FIFA untuk menghindarkan venue-venue ‘gajah putih’ mahal yang membelenggu hos Piala Dunia sebelumnya.
Pegawai bidaan Amerika Utara berkata 60 dari perlawanan itu akan diadakan di AS, dengan Kanada dan Mexico masing-masing menghoskan 10 perlawanan. AS akan menghoskan semua perlawanan kalah mati dari suku akhir seterusnya.
Walaupun bidaan Amerika Utara dikira sebagai pilihan terbaik, Maghribi telah menarik sokongan di Eropah.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet memberitahu akhbar berbahasa Perancis, L’Equipe minggu lalu dia dijangka akan mendaftarkan undiannya dalam memilih Maghribi apabila delegasi mengundi di Moscow pada 13 Jun depan. “Saya tidak melihat diri saya tidak menyokong negara yang dekat dengan kami,” kata Le Graet.
“Maghribi bersedia, walaupun jika mereka tidak mempunyai sumber sama seperti pesaing mereka. Perancis hanya mempunyai satu undian, tetapi mungkin kami akan memberikan momentum kepada Eropah untuk memilih Maghribi.” – AFP