MOSCOW, 30 Mac – Badan induk bola sepak dunia, FIFA, akan membubarkan jawatankuasa penganjuran Piala Dunia setempat dan mengawal sepenuhnya penganjuran kejohanan bermula tahun 2026, menurut setiausaha agung FIFA, Fatma Samoura (gambar bawah).
“Kami akan menganjurkan Piala Dunia 2026 dengan sendiri,” kata Samoura dalam satu temu bual kelmarin.
Dia menambah sistem pada masa ini, yang memberikan mandat kepada jawatankuasa setempat dengan penganjuran Piala Dunia yang dianjurkan oleh negara masing-masing, akan menjalani perubahan di pertengahan di antara kejohanan 2018 dan 2022.
Dua kejohanan Piala Dunia seterusnya tidak akan terjejas dengan perubahan itu.
“Kami tidak mahu mencipta struktur baru dari awal (bagi setiap Piala Dunia),” kata Samoura, menegaskan proses itu ‘sukar dan mahal’.
“Kami mahu mempunyai sebuah pasukan profesional kekal yang mempunyai semua kebolehan seperti penganjuran dan digabungkan dengan pengalaman penduduk setempat yang serba tahu.”
Samoura berkata langkah itu bertujuan untuk meningkatkan ‘kawalan dan keberkesanan’, dengan jawatankuasa penganjuran setempat sebelum ini telah menjadi perhatian atas tertangguhnya beberapa projek infrastruktur.
Dia telah mengesahkan bahawa FIFA juga mempertimbangkan untuk mengambil alih program tiket Piala Dunia.
Satu peta jalan telah dikeluarkan oleh FIFA pada Oktober 2016 menyatakan bahawa pertubuhan itu mungkin ‘mengubah model pada masa ini untuk membuat pengawalan lebih langsung ke atas operasi perniagaan, termasuk tiket Piala Dunia FIFA dan aktiviti-aktiviti penganjuran Piala Dunia FIFA’.
Rusia dijangka menjadi hos Piala Dunia seterusnya di 11 bandar termasuk Moscow, Saint Petersburg dan Sochi. – AFP