KUALA LUMPUR, 7 OKT – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mendapati beberapa pemain di bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menggunakan dokumen palsu bagi mengelakkan peraturan badan itu untuk membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya.
Menurut laporan siasatan Jawatankusa Tatatertib FIFA (Sekretariat), pihaknya telah menemukan senarai bukti membabitkan pemain terbabit yang bercanggah dengan dokumen dikemukakan oleh FAM dalam prosiding bertanda FPSD-18683, FPSD-19517, FPSD-19518, FPSD-19519, FPSD-19520, FPSD-19521 dan FPSD-18682.
“Hasil siasatan tersebut telah diperincikan dalam dua laporan siasatan dalam Investigatory Reports,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, FAM mengesahkan telah menerima penghakiman penuh berhubung keputusan tatatertib yang dikenakan terhadap badan induk negara itu serta tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain.
Menerusi kenyataan, FAM menegaskan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.
Menurut FAM, pihaknya memandang serius beberapa kesimpulan khususnya dakwaan, pemain telah memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen bulan lepas.
FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 iaitu kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda sebanyak CHF2,000 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut. – Bernama


