LAUSANNE, 13 JULAI – Kelab Al-Nassr dari Arab Saudi yang disertai Cristiano Ronaldo telah dilarang mendaftarkan pemain baharu sehingga hutang yang belum dibayar diselesaikan, kata FIFA hari ini.
Pasukan tersebut “saat ini dilarang mendaftarkan pemain baharu kerana hutang yang belum dibayar,” kata jurucakap FIFA kepada AFP, tanpa mendedahkan jumlah hutang tersebut.
Badan induk bola sepak dunia itu tidak menyatakan sama ada perpindahan terbaharu pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic dari Inter Milan baru-baru ini akan terjejas oleh sekatan tersebut.
“Larangan berkaitan akan ditarik balik serta-merta selepas penyelesaian hutang disahkan oleh pemiutang berkenaan,” tambah jurucakap itu.
Pada Oktober 2021, Al-Nassr diarahkan oleh seorang hakim yang ditugaskan oleh FIFA untuk membayar AS$514,000 ditambah faedah kepada Leicester City dalam pertikaian mengenai perpindahan pemain antarabangsa Nigeria, Ahmed Musa.
Musa menyertai Al-Nassr dengan bayaran 18 juta euro pada tahun 2018. Dia meninggalkan kelab tersebut dua tahun kemudian dan bermain untuk Sivasspor di Turkiye musim lalu.
Menurut keputusan pada waktu itu, jika tidak dibayar, Al-Nassr boleh dilarang merekrut pemain untuk ‘tiga tempoh pendaftaran keseluruhan berturut-turut.’
Liga Pro Saudi yang disokong oleh dana kekayaan negara Teluk, menarik nama-nama besar dari liga Eropah utama dengan menawarkan bayaran gaji yang lumayan.
Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, mengambil alih jawatan jurulatih Al-Ettifaq awal bulan ini, manakala Karim Benzema dan N’Golo Kante juga telah berpindah ke negara Teluk yang kaya dengan minyak itu sejak perpindahan Ronaldo ke Al-Nassr pada Januari yang memulakan trend tersebut. – AFP
