ZURICH, 31 Mac – Kesemua rantau bola sepak akan menyaksikan slot Piala Dunia mereka ditambah apabila kejohanan itu menambah jumlah negara kepada 48 pasukan bagi tahun 2026, dengan Afrika menjadi pemenang terbesar, menurut beberapa cadangan yang dikeluarkan oleh FIFA semalam.
Rancangan untuk membesarkan lagi kejohanan itu melebihi format 32 pasukan, yang hanya menunggu kelulusan Kongres Mei FIFA di Bahrain, memastikan Afrika mendapat sembilan slot, empat slot tambahan berbanding sebelumnya.
Asia, yang pada masa ini di mempunyai antara empat dan lima kemasukan Piala Dunia, akan mendapat lapan slot, sementara konfederasi Eropah UEFA bertambah dari 13-16.
Konfederasi Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) akan mendapat enam slot, meningkat daripada tiga dan empat slot pada masa ini. Amerika Selatan (CONMEBOL), yang pada masa ini mempunyai antara empat dan lima slot, akan mendapat enam, menurut cadangan daripada majlis pemegang peraturan FIFA.
Oceana, yang tidak pernah diberikan jaminan kemasukan dalam Piala Dunia sebelum ini, akan pasti diberikan satu slot.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin mendakwa persekutuannya ‘berpuas hati’ dengan rancangan itu.
“Kami merasakan bahawa UEFA akan diwakili secara adil dengan sejumlah 16 pertubuhan kebangsaan bersaing dalam format baru Piala Dunia,” katanya.
“Kami tidak sabar untuk menyaksikan cadangan ini disahkan oleh Majlis FIFA di Bahrain pada 9 Mei nanti.”
Keputusan pada 10 Januari untuk membesarkan lagi Piala Dunia telah menandakan satu kemenangan besar buat presiden FIFA Gianni Infantino (gambar atas), yang baru sahaja memegang tugas itu setahun lebih.
Pada masa itu dia menyuarakan bahawa di bawah format baru, akan lebih banyak negara ‘akan mempunyai peluang untuk bermimpi’ dan kejohanan lebih besar akan menggambarkan ‘Piala Dunia abad ke-21’. – AFP