Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    FIFA tolak rayuan FAM berhubung skandal pemalsuan pemain

    PARIS, 4 NOV – FIFA kelmarin mengumumkan bahawa ia telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemainnya dalam skandal kelayakan yang sedang berlangsung berhubung dengan dokumen palsu yang digunakan bagi kelayakan Piala Asia.

    Badan pentadbir dunia itu menggantung tujuh pemain pasukan kebangsaan Malaysia yang dilahirkan di luar negara selama setahun dan mendenda FAM sebanyak AS$440,000 pada September lalu.

    FIFA menuduh persekutuan negara itu mengemukakan dokumen palsu yang mengatakan pemain tersebut adalah keturunan Malaysia, menjadikan mereka layak mewakili negara Asia Tenggara itu.

    Siasatan oleh badan itu menunjukkan bahawa tiada seorang pun daripada Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca atau Joao Brandao Figueiredo, yang membantu Malaysia menang 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu dalam kelayakan Piala Asia, mempunyai ibu bapa atau datuk nenek yang dilahirkan di negara itu.

    FAM menafikan sebarang salah laku yang disengajakan dan merayu keputusan tersebut pada Oktober lalu, sebelum menggantung setiausaha agungnya dan mengatakan ia akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat.

    Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FIFA kelmarin berkata, “Selepas menganalisis penyerahan dan menjalankan pendengaran, ia telah memutuskan untuk menolak rayuan dan mengesahkan sekatan terhadap pihak-pihak tersebut.”

    FAM perlu membayar denda AS$440,000, manakala pemain akan didenda AS$2,500 setiap seorang dan dilarang daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan. – AFP

    FAM mengadakan sidang media pada 17 Oktober berkenaan perkembangan terkini status tujuh pemain bola sepak kebangsaan Malaysia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda