SAINT PETERSBURG, 28 Feb – FIFA semalam berkata ia merasa yakin masalah padang di stadium baru Saint Petersburg akan diselesaikan tepat pada masanya bagi persaingan Piala Konfederasi Jun depan.
Tahun lepas pemeriksa berkata padang di Saint Petersburg Arena yang memuatkan 68,000 tempat duduk itu untuk pembukaan dan final Piala Konfederasi, adalah tidak stabil dan tidak sesuai bagi kejohanan berkenaan.
“Terdapat perancangan jelas, perancangan jurutera terhadap tugasan yang diletakkan dan ia seharusnya diselesaikan dalam tempoh dua minggu seterusnya,” kata Colin Smith, ketua suruhanjaya operasi FIFA selepas kunjungan ke stadium tersebut.
“Kami merasa yakin langkah yang dirancang seharusnya menyelesaikan masalah itu.”
Isu padang masalah baru yang melanda tempat di bandar kedua Rusia itu yang juga menghoskan perlawanan ketika Piala Dunia 2018 di Rusia.
Pembinaan arena itu yang bertindak sebagai gelanggang sendiri Zenit St Petersburg bermula pada 2007 tetapi hanya disiapkan pada Disember selepas peningkatan bil dan terlepas tarikh akhir.
“Masih banyak tugasan yang perlu dilakukan dan diselesaikan tetapi kami merasakan kami dalam laluan yang tepat,” kata Smith.
“Pasti bulan Jun kami sedia bagi Piala Konfederasi. Ada banyak langkah yang dilakukan bagi memastikan kami memiliki permukaan padang terbaik.”
Perlawanan Piala Konfederasi yang lain akan berlangsung di Sochi, Kazan dan arena Otkrytie, Moscow. – AFP