Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    FIFPro bangkitkan isu jadual perlawanan terlalu padat

    AMSTERDAM, 27 JULAI – Pemain bola sepak terkenal takut untuk menyuarakan isu bermain terlalu banyak perlawanan kerana bimbang ia akan menjejaskan kerjaya mereka, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pemain Global FIFPro, Alex Phillips, pada Jumaat lalu.

    Beliau bercakap selepas FIFPro mengadakan mesyuarat di Amsterdam bersama 58 kesatuan pemain kebangsaan dari seluruh dunia bagi membincangkan kebimbangan terhadap cara badan induk bola sepak dunia, FIFA, menguruskan bola sepak global.

    Mesyuarat itu diadakan kurang dua minggu selepas berakhirnya Piala Dunia Kelab pertama yang melibatkan 32 pasukan di Amerika Syarikat satu kejohanan yang dipuji sebagai kejayaan besar oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, tetapi dikritik oleh FIFPro atas bebanan yang dikenakan kepada para pemain yang sudah pun menghadapi jadual perlawanan yang padat.

    “Sebelum Piala Dunia Kelab, saya bercakap dengan beberapa pemain bintang dan mereka berkata mereka tidak mendapat rehat untuk tempoh ‘X’ yang lama,” kata Phillips.

    “Salah seorang daripada mereka malah berkata, ‘Saya hanya akan berehat apabila saya cedera’. Yang lain pula kelihatan pasrah dan sinis untuk bersuara.

    “Kemudian kita lihat pemain yang sama dua minggu selepas itu terpaksa merakam video media sosial mengatakan ‘Kami rasa Piala Dunia Kelab ini hebat,’ kerana majikan mereka menyuruh mereka berbuat demikian.

    “Kita berada dalam situasi yang bercanggah, di mana pemain tidak boleh bersuara. Mereka berada dalam kedudukan yang sukar. Mereka boleh bersuara, tetapi mungkin akan menghadapi akibatnya.”

    FIFPro berkata tumpuan FIFA yang keterlaluan terhadap Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat merupakan contoh bagaimana badan itu mengabaikan banyak isu asas yang lebih penting melibatkan kebajikan pemain di seluruh dunia. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda