Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    FIFPro seru masa rehat separuh masa lebih panjang

    PHILADELPHIA, 1 JULAI – Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Dunia (FIFPro) kelmarin menyeru agar masa rehat separuh masa dipanjangkan pada Piala Dunia tahun depan sebagai langkah untuk menangani kesan cuaca panas melampau.

    Pihaknya turut menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi pemain dalam kejohanan Piala Dunia Kelab yang sedang berlangsung kini wajar menjadi ‘peringatan penting’ kepada FIFA.

    Keadaan cuaca yang panas terik di kebanyakan kawasan di Amerika Syarikat telah memberi kesan ketara terhadap prestasi dan kesihatan pemain sepanjang kejohanan, dengan beberapa jurulatih pasukan yang bertanding menyuarakan kebimbangan mengenai suhu yang tinggi.

    Menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di seluruh Amerika Utara, satu kajian oleh FIFPro memberi amaran bahawa enam daripada 16 lokasi yang terlibat bagi kejohanan tahun hadapan menimbulkan ‘risiko sangat tinggi’ terhadap kecederaan akibat tekanan haba kepada pemain – termasuk Miami, salah satu bandar yang kini menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab.

    “Kejohanan ini mungkin menjadi satu peringatan yang sangat berguna untuk semua pihak dalam melihat semula penjadualan perlawanan bagi kejohanan akan datang,” kata Pengarah Dasar dan Hubungan Strategik FIFPro, Alexander Bielefeld.

    Banyak perlawanan dalam Piala Dunia Kelab dimulakan sekitar tengah hari atau jam 3 petang waktu tempatan. Pemain Atletico Madrid, Marcos Llorente, menyifatkan keadaan di

    Pasadena ketika pasukannya tewas 4-0 kepada Paris Saint-Germain sebagai ‘mustahil, panas yang teruk’.

    “Kita bakal menghadapi beberapa kejohanan besar di masa hadapan, dan perkara ini perlu diberi perhatian. Selain Piala Dunia 2026, kejohanan tahun 2030 yang akan dimainkan ketika musim panas di Sepanyol, Portugal dan Maghribi juga membimbangkan,” tambah Bielefeld. – AFP

    Cuaca panas di stadium sebelum perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab FIFA 2025 antara FC Internazionale Milano dan Fluminense FC di Stadium Bank of America pada 30 Jun di Charlotte, North Carolina. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda