HONIARA, 29 NOV – Fiji hari ini menyertai pengaman antarabangsa bagi mengekang ketegangan membuak di pulau dicengkam rusuhan, Solomon, ketika Palang Merah memberi amaran kekurangan makanan di ibu negara Pasifik yang musnah itu.
Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama mengerahkan 50 anggota keselamatan pada awalnya bagi memastikan undang-undang dan peraturan terpelihara, susulan bantahan antikerajaan yang membawa maut, menambah jumlah pengaman kepada 200 orang – kebanyakannya dari Australia dengan Papua New Guinea turut mengerahkan seramai 34 orang.
Bainimarama mengatakan sejumlah 120 orang pasukan pengaman lagi sedang bersiap sedia dikerahkan jika keadaan keselamatan bertambah teruk di Honiara, dengan pembersihan besar-besaran sedang diadakan selepas kekacauan yang meragut tiga nyawa. Krisis Solomon tercetus Rabu lalu apabila rusuhan membantah dasar kerajaan, bertukar ganas, disemarakkan lagi oleh kemiskinan, pengangguran dan permusuhan antara pulau. – AFP