Friday, December 13, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem baharu angkat realiti amalan syirik dalam masyarakat

    Amalan syirik yang masih menjadi amalan segelintir masyarakat memberi ilham kepada penghasilan filem seram terbaharu berjudul Bisikan Dosa.

    Penerbitnya Yusry Makmor berkata, idea itu tercetus apabila dia bersama rakannya membuat kajian berkaitan filem-filem seram yang menjadi tarikan penonton.

    Jelas Yusry, bagi memastikan jalan ceritanya menarik, dia memasukkan unsur realistik tentang amalan-amalan masih diamalkan seperti mandi bunga bagi menguatkan jalan cerita.

    “Filem ini adalah satu naskhah tepat untuk diangkat menjadi sebuah filem seram yang mana ia bakal menjadi satu fenomena buat penonton dahagakan filem tempatan dengan genre seram.

    “Penceritaan Bisikan Dosa adalah satu jalan cerita realistik, misalnya amalan syirik seperti mandi bunga masih diamalkan oleh sebilangan orang tanpa mengira darjat dan keturunan walau dalam zaman yang serba moden kini,” katanya.

    Tidak hanya itu, Yusry memberitahu genre itu juga dipilih selepas melihat kejayaan filem seram Islamik Thailand iaitu Khong Khaek yang berjaya mencetus fenomena dalam kalangan penonton.

    Sebagai kelainan, Bisikan Dosa menyuntik beberapa elemen tersendiri selain plot twist yang tidak dapat diduga penonton.

    “Filem ini bukan sekadar sebuah naskhah seram semata-mata, tetapi penceritaannya juga cukup menarik dan membuatkan penonton perlu menontonnya sehingga habis untuk mengetahui kisah sebenar.

     “Untuk babak-babak seram dan jumpscare, saya akan pastikan ia adalah terbaik dan barulah akan dimasukkan dalam filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton,” ujarnya.

    Sementara itu, pengarahnya Faizul berkata, lakonan mantap dari para pelakon yang berjaya menjiwai watak masing-masing menambah seram kepada filem ini.

    Katanya, semua pelakon telah diberikan skrip beberapa bulan lebih awal sebelum penggambaran dilakukan serta mereka turut menyertai kelas lakonan.

     “Selain itu, kesan solekan unik dengan interpretasi tersendiri dan lakonan mantap oleh setiap pelakon dalam filem ini turut saling mendukung watak satu sama lain menghasilkan satu persembahan menarik dan gandingan sangat serasi,” ujarnya.

    Bisikan Dosa mengisahkan tentang wanita bernama Sarimah yang berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu.

    Keputusan itu dibuat selepas Sarimah berdepan dengan kematian tragis anak kecilnya dan bekas suaminya pula curang dengan wanita lain.

    Ketika di Kuala Lumpur, dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden namun ketika bertugas dia dihantui oleh satu roh tidak tenang yang kenali dari potret keluarga itu sebagai Zara, arwah isteri Ayden.

    Bisikan Dosa dibintangi Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, dan Sherry Merlis.

    Bisikan Dosa bakal menghantui penonton seluruh pawagam Malaysia, Singapura, Brunei pada 9 Januari 2025. – Agensi

    Antara babak yang terdapat di dalam Bisikan Dosa lakonan Sara Ali. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda