Selepas beberapa kali tarikh tayangannya ditunda akibat pandemik COVID-19, filem dinantikan ramai, Godzilla vs Kong akhirnya menemui penonton bermula 25 Mac lalu.
Filem arahan Adam Winggard menyaksikan kehadiran semula Godzilla di bumi berlaku disebabkan provokasi pihak bertanggungjawab, sementara King Kong pula mencari jalan pulang untuk kembali ke tempat asalnya bermula.
Pertembungan antara keduanya telah menyebabkan kemusnahan harta benda serta mengancam keselamatan awam. Bagaimanapun hakikatnya, di sebalik apa yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan dua ‘gergasi’ ini untuk kepentingan peribadi mereka.
Penonton disajikan dengan dua plot yang disatukan menerusi cerita sisi Godzilla dan King Kong yang masing-masing mempunyai matlamat tersendiri.
Sebuah filem sarat dengan aksi pertarungan mendebarkan. Tampil dengan CGI hebat, penonton dapat merasai sendiri bagaimana ketegangan yang berlaku dalam babak-babak tersebut terutamanya melibatkan pertarungan epik antara kedu-duanya.
Dalam pada keterujaan menyaksikan babak aksi, penonton pastinya akan turut tersentuh emosi menerusi watak King Kong yang bersungguh-sungguh mahu kembali ke dunia asalnya meski perlu berdepan pelbagai dugaan dan cabaran.
Antara yang menarik juga adalah paparan sinematografi filem ini yang sangat cantik dan banyak menyokong penceritaan. – Agensi