Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem ‘mengapi-apikan’ diharamkan

    SINGAPURA, 4 Jan – Singapura mengharamkan penyiaran dokumentari yang menonjolkan seorang remaja Palestin yang didakwa menyerang pasukan keselamatan Israel dari ditayangkan dalam satu festival hari ini, dengan memberi amaran tindakan ‘mengapi-apikan’ itu boleh menimbulkan kebencian.

    Pengawas media negara itu mengatakan filem ‘Radiance of Resistance’ mempunyai “naratif terpesong” dan boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan penduduk di negara pelbagai etnik itu.

    Kebanyakan dari 5.6 juta penduduk Singapura adalah etnik Cina, tetapi ia juga didiami oleh sebilangan besar bangsa Melayu beragama Islam dan minoriti India dan juga ramai ekspatriat. Negara itu mempunyai undang-undang ketat ke atas apa saja yang dilihat mencetuskan ketidakharmonian.

    Filem itu dijangka ditayangkan hari ini semasa Festival Filem Palestin Singapura yang menonjolkan karya-karya para pembikin filem Palestin dan para pelakon sejak 2016.

    Menurut laman sesawangnya, empat buah filem lagi ditayangkan semasa festival itu.

    Seorang artis Palestin melukis potret Ahed Tamimi, 16 tahun, seorang aktivis lantang yang menentang pendudukan Israel di Palestin yang kini berada dalam tahanan di Gaza, semalam. – AFP

    Karya yang diharamkan itu memaparkan kehidupan dua orang gadis muda yang ditonjolkan wajah-wajah baru penentang Palestin terhadap pendudukan tentera Israel.

    Salah seorang gadis itu, Ahed Tamimi, 16 tahun telah diangkat sebagai wira rakyat Palestin yang menyaksikan keberaniannya menentang pendudukan Israel, tetapi pihak Israel menuduh keluarganya menggunakannya sebagai alat untuk melancarkan provokasi.

    Dia didakwa dalam mahkamah tentera Israel Isnin lalu dengan beberapa kesalahan, termasuklah serangan, selepas rakaman video yang memaparkannya menendang dan menampar dua orang tentera Israel di Tebing Barat, menjadi tular. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda