Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem romantik menjadi pilihan utama

    SIRI ketiga dalam trilogi filem bercorak romantik, Fifth Shades Freed terus berjaya mendominasi carta dengan kutipan setinggi AS$38.8 juta hasil tayangan di 3,678 pawagam.

    Malah siri terakhir dalam trilogi filem itu turut dilancarkan di 57 buah negara di mana ia dipercayai berupaya untuk mengumpulkan kutipan sehingga AS$1.09 bilion.

    Fifty Shades Freed kembali menggandingkan Jamie Dornan dan Dakota Johnson selaku pelakon utama yang membawakan watak Christian Grey dan Anastasia Steele.

    Walaupun Fifty Shades Freed berjaya mendominasi carta pada minggu tayangan perdananya namun kutipan yang diperolehi nyata tidak berjaya mengatasi prestasi yang ditonjolkan dalam dua filem terdahulu iaitu Fifty Shades of Grey dengan kutipan sebanyak AS$85.2 juta pada tahun 2015 dan Fifty Shades Darker dengan kutipan sebanyak AS$46.6 juta pada tahun lalu.

    Sebanyak 75 peratus penonton yang memilih untuk menonton filem Fifty Shades Freed adalah terdiri daripada golongan wanita dan 55 peratus daripadanya pula golongan wanita yang berusia di bawah 30 tahun.

    Peter Rabbit memeperlihatkan perseteruan di antara seekor arnab dan seorang lelaki bernama Thomas McGreggor.
    The 15:17 to Paris merupakan sebuah filem diadaptasi dari The 15:17 to Paris: The True Story of a Terrorist, a Train, and Three American Heroes.
    Watak antagonis bernama Russel Van Pelt dalam Jumanji: Welcome to the Jungle dilakonkan oleh Bobby Cannavale.

    “Filem ini tetap menjadi pilihan utama kepada ramai wanita berikutan daripada elemen romantik yang diterapkan di dalamnya,” jelas Presiden Pengedar Domestik Universal, Jim Orr.

    Orr juga turut memuji keserasian lakonan di antara Dornan dan Johnson serta tetap yakin bahawa aksi lakonan mereka turut menjamin kejayaan pada tayangan filem ini pada minggu-minggu yang akan datang.

    Sementara Peter Rabbit yang menerapkan konsep kekeluargaan pula menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$25 juta hasil tayangan dari 3,725 pawagam.

    Peter Rabbit merupakan sebuah filem live-action yang turut menerapkan teknologi animasi CGI terbitan Columbia Pictures dan Sony Pictures Animation.

    Filem yang menerapkan elemen komedi itu menampilkan suara latar terdiri daripada James Corden, Domhnall Gleeson dan Rose Byrne.

    Hakikatnya, ia mengisahkan mengenai perselisihan faham di antara hubungan Peter Rabbit dengan pewaris kekayaan McGregor, Thomas Mc Gregor.

    Perseteruan di antara arnab dengan pewaris kekayaan itu semakin jelas dengan kehadiran Bea, seorang wanita cantik yang juga merupakan seorang pencinta binatang yang baru berpindah di kawasan sebelah rumah.

    Dari situ, wujud persaingan di antara Peter Rabbit dan Thomas McGregor yang kelihatan berusaha dengan penuh semangat untuk menarik perhatian Bea.

    Zac Efron kembali menunjukkan bakat nyanyiannya dalam The Greatest Showman.
    Maze Runner: The Death Cure menampilkan aksi sekumpulan remaja yang harus berusaha untuk menyelamatkan diri.

    Manakala, 15:17 to Paris yang diadaptasi dari buku The 15:17 to Paris: The True Story of a Terrorist, a Train, and Three American Heroes karya Jeffrey E. Stern, Spencer Stone, Anthony Sadler dan Alek Skarlatos pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$12.6 juta setelah ditayangkan di 3,042 pawagam.

    Filem yang diarahkan oleh Clint Eastwood dan diterbitkan oleh Village Roadshow itu turut menampilkan lakonan Spencer Stone, Anthony Sadler dan Alek Skarlatos di samping beberapa pelakon lain seperti Judy Greer dan Jenna Fischer.

    Juara tiga minggu berturut-turut, Jumanji: Welcome to the Jungle pula harus akur untuk menduduki tangga keempat setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$9.8 juta setelah ditayangkan di 3,316 pawagam.

    Kutipan pada filem komedi ini menurun sebanyak 10 peratus berbanding minggu lalu dan bagi pasaran domestik filem ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$365.7 juta setelah ditayangkan selama 54 hari.

    Manakala, The Greatest Showman pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$6.4 juta setelah ditayangkan di 2,373 pawagam.

    Secara keseluruhan, filem ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$146.5 juta bagi pasaran domestik.

    Antara filem-filem yang baru ditayangkan pada minggu ini adalah terdiri dari Pad Man, Bomb City, Golden Exits, The Female Brain dan The Peacemaker.

    Kutipan filem dijangka akan terus meningkat tatkala Black Panther terbitan Marvel Studio bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda