Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem satukan puak asli Amazon

    SAN MARTIN DE AMACAYACU – Di hutan Amazon, Colombia, orang asli dari pelbagai negara, etnik dan bahasa telah berkumpul untuk mencapai persetujuan bersama bagi menceritakan kisah mereka sendiri di pawagam dan bukannya membiarkan orang luar yang melakukannya.

    Baru-baru ini, dalam komuniti San Martin de Amacayacu di selatan Colombia, suku Tikuna tempatan telah disertai buat pertama kalinya oleh orang Matis Brazil bagi mengikuti kursus filem.

    “Kami tidak tahu cara mengendalikan kamera jadi apa yang mereka lakukan ialah menunjukkan pengalaman, berkongsi pengetahuan dan ketabahan mereka,” kata Lizeth Reina, 24, dari puak Tikuna, kepada AFP.

    Matis, suku asli yang hanya dikunjungi pada 1976, memiliki dua kamera video pada tahun 2015 dan diajar cara membuat penggambaran oleh Pusat Buruh Orang Asli Brazil (CTI) dan Yayasan Kebangsaan Indian.

    Bulan lalu, mereka membuat perjalanan tujuh hari di sepanjang sungai yang deras dan meredah hutan dara untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan kira-kira 700 orang komuniti Colombia.

    Orang asli Tikuna dan Matis merakamkan nyanyian Tikuna warga emas di San Martin de Amacayacu, Colombia. – AFP
    Filem dokumentari orang asli Tikuna dengan sokongan orang asli Matis di San Martin de Amacayacu, Colombia. – AFP
    Orang asli Tikuna menyediakan makan tengah hari komuniti di San Martin de Amacayacu, Colombia. – AFP
    Orang asli Tikuna dan Matis menyaksikank dokumentari di San Martin de Amacayacu, Colombia. – AFP
    Pemandangan sungai Amacayacu di Amazonia Colombia, San Martin de Amacayacu, Colombia. – AFP

    Semasa kem latihan bermula, Matis dengan tatu muka yang tersendiri, memberi arahan bagaimana untuk memfokuskan kamera video.

    Sekitar 10 suku Matis, yang dikenali sebagai ‘lelaki kucing’ kerana tatu kucing di wajah mereka, telah tiba dari kawasan asal mereka di lembah Yavari – kawasan yang lebih besar daripada Austria namun dibelenggu dengan pengedaran dadah dan pengekstrakan mineral haram, pembalakan dan penangkapan ikan.

    Wartawan British, Dom Phillips dan orang asli Bruno Pereira telah dibunuh di sana pada bulan Jun.

    Lembah Yavari mempunyai bilangan terbesar komuniti terpencil di dunia.

    “Bukan mudah untuk sampai ke sini, kami sedikit menderita, tetapi ia sangat emosional,” kata pembuat filem Pixi, Kata Matis, 29, berkongsi mengenai perjalanan ke San Martin.

    Suku Tikuna ketawa ketika tetamu mereka merengus sambil menghirup masato, minuman berasaskan yucca yang diagihkan dalam cawan diperbuat daripada buah pokok lelabu berkulit keras.

    Filem ditayangkan di rumah asli Ma-loca, sebuah pusat kebudayaan, politik, sosial dan rohani.

    Ratusan penonton terpesona me-nyaksikan imej pemburuan bersama senapang sumpit, busur dan anak panah memancar di hadapan mata mereka, serta festival tatu yang menandakan sambutan bagi anak Matis yang meningkat remaja.

    “Kita perlu menunjukkan kepada orang lain dan orang kulit putih bahawa kita mempunyai identiti kita sendiri,” kata Matis.

    Filem-filem itu ‘boleh membantu mengekalkan kenangan untuk masa depan … jadi kami tidak akan lupa tradisi kami,” tambah Yina Moran, 17.

    Diletakkan dalam kumpulan campu-ran, Tikuna mencadangkan tiga filem pendek mengenai benih, tumbuhan ubatan dan masato, dengan bantuan Matis, CTI dan persatuan Perancis ForestEver.

    “Kamera itu sebati dengan landskap dan ahli keluarga lebih bersedia untuk berkongsi dan berkomunikasi,” kata penyelaras ForestEver, Claire Davigo.

    San Martin de Amacayacu, dikelilingi taman semula jadi yang subur, terdiri dari rumah kayu, dengan dindingnya dicat berwarna-warni, yang menjadi rumah kepada generasi keluarga yang sama.

    Perantis dan mentor mereka menghabiskan masa seharian menjalankan temu bual dan penggambaran kehidupan seharian.

    “Komunikasi itu indah kerana walaupun kami hampir sukar bercakap Bahasa Portugis, kami memahami satu sama lain melalui budaya kami,” kata Moran.

    Pada sebelah petang, penduduk tempatan turun ke sungai untuk mencuci pakaian atau mandi manakala pada waktu malam, generator dinyalakan untuk membekal elektrik selama empat jam.

    Selepas itu, bunyi itu berhenti untuk memberi laluan kepada bunyi hutan.

    Sedekad selepas mereka pertama kali dihubungi, Matis sudah pun menjadi ‘bintang laporan eksotik’ oleh wartawan AS, Jepun, Perancis dan British, menurut CTI.

    Orang asing terpikat dengan seni tubuh dan aksesori mereka: telinga dicucuk dengan perhiasan yang besar, besi halus menembusi hidung dan bibir, tatu muka dan badan yang dibaluti perhiasan.

    Tetapi Kata Matis mengadu bahawa ‘ramai orang ingin pergi ke kampung itu … membuat penggambaran tanpa kebenaran kami, tanpa pemahaman kami, dan kemudian mereka mengambil bahan’ tanpa memberitahu kami.

    Untuk mengelak perkara itu berulang, Matis mula menulis sejarah mereka sendiri pada 2017.

    Sejak tiba di San Martin, Dame Betxun Matis, 27, tidak pernah berenggang de-ngan kameranya.

    Beliau mengambil bahagian dalam menerbitkan dokumentari ‘Festival tatu Matis’ yang memenangi hadiah juri semasa festival pawagam orang asli Kurumin pada 2021.

    Filem tersebut menunjukkan tradisi mencacah muka, amalan yang ditinggalkan oleh golongan muda yang berdepan diskriminasi di bandar-bandar.

    Kata Matis meyakinkan masyarakat untuk meneruskan tradisi itu dan membuat penggambaran ketika sekitar 90 orang muda menjalani upacara itu.

    Pada malam terakhir Matis di San Martin, ratusan penduduk tempatan memenuhi Maloca untuk menonton filem pendek Tikunas.

    Selepas diakhiri gelak tawa, tepukan dan berkongsi masato, Kata Matis mengongsikan mengenai kedudukan orang asli di negara bangsa moden.

    “Kami tidak hidup antara dua dunia tetapi kami hidup dengan dua dunia,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda