Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem sulung Syurga Dalam Botol raih RM1 juta

    Dana Pembikin Filem Amatur Kali Pertama (FAME) dilihat mampu menjadi platform penting dalam mencungkil serta memperkasakan bakat baharu pengarah filem di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh ekosistem industri perfileman negara itu.

    FAME adalah inisiatif khusus bagi membantu pengarah filem kali pertama menghasilkan karya mereka melalui sokongan dana sehingga RM500,000, selain bimbingan produksi bagi memperluaskan penyertaan kreatif dalam kalangan pembikin filem muda.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dana yang diperkenalkan tahun lalu itu memberi tumpuan kepada pengarah yang pertama kali menceburi penghasilan filem berskala penuh.

    Beliau berkata filem Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis turut menerima sokongan kerajaan melalui FAME dan mencatat kutipan tiket sebanyak RM1 juta sejak ditayangkan di 40 pawagam seluruh Malaysia mulai 9 Oktober lepas.

    “Filem yang mengetengahkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah itu mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta.

    “Ini boleh dianggap pencapaian membanggakan bagi karya sulung seorang pengarah baharu serta produksi tempatan dari Sabah,” katanya kepada Bernama.

    Mengulas lanjut, Azmir berkata, kejayaan filem itu bukan sahaja diukur dari segi kutipan tetapi juga impak sosial yang ditinggalkan apabila ramai penonton termasuk pemimpin masyarakat di Sabah mengakui tersentuh dengan mesej yang dipaparkan.

    “Kejayaan ini membuktikan karya dari luar Lembah Klang juga mampu menyampaikan mesej yang kuat dan berimpak tinggi,” katanya. Beliau turut memaklumkan FINAS menerima maklum balas positif daripada penerbit filem dan drama berpengalaman yang menyifatkan Ebi Kornelis sebagai bakat besar yang berpotensi menyerlah pada masa depan. – Bernama

    Filem sulung Syurga Dalam Botol berjaya mengutip RM1 juta selepas ditayangkan di 40 buah pawagam di Malaysia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda