Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filem tempatan Seperti Bayu yang Bertiup Dingin ditayangkan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Sebuah lagi karya perfileman hasil sentuhan dua orang anak tempatan berjudul Seperti Bayu yang Bertiup Dingin telah dilancarkan dan ditayangkan buat julung kalinya dalam acara malam tayangan awal filem tersebut di Aman Hills Cineplex Kompleks Membeli-Belah Aman Hills baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan sebuah filem bergenre drama romantik arahan Mu’iz Bakar dan Ariffudin Zainal itu ialah Pemangku Penolong Ketua Eksekutif Unit Pembangunan Industri, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad.

    Filem berkenaan adalah hasil terbitan Vertex Visuals Films, AR Capture Production dan Showtime Creative Entertainment daripada inisiatif AITI melalui program Pitch and Produce 3.0 dan disokong oleh Progresif Media dan Soto Pabo.

    Lebih 90 orang telah hadir memeriahkan acara malam tayangan awal berkenaan termasuklah para barisan artis tempatan, pegawai-pegawai dari AITI dan Progresif Media, pelakon dan kru filem tersebut di samping sokongan daripada golongan ahli keluarga dan sahabat terdekat.

    Menerusi penciptaan filem berkenaan, Mu’iz Bakar antaranya berkata ia pastinya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan remaja dan dewasa yang mana sentuhan karya ini jika diselami dengan sebaik-sebaiknya boleh mewujudkan nilai-nilai pedoman dan iktibar dalam kehidupan terutamanya dalam pencarian cinta dan menggapai sebuah keredaan jiwa atas setiap yang sudah tertulis oleh Ilahi.

    Vertex Visuals Films telah mula menerima pembelian tiket acara tersebut pada hari 26 Jun 2023 dan habis dijual dalam masa sejam.

    Oleh itu, orang ramai kini turut dialu-alukan untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan sahabat handai menonton filem tempatan berkenaan sekali gus menyokong industri kreatif tanah air.

    Dayang Siti Zaraura dan antara yang hadir bergambar ramai semasa perasmian filem berkenaan. – Gambar serahan Mu’iz Bakar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda