Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 DIS – Filem tempatan bertajuk Worm and the Widow yang menggambarkan watak orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal dalam pandangan positif dengan memberi mereka suara dalam masyarakat telah menarik perhatian Festival Filem Antarabangsa Montgomery (MIFF).
Ini telah mengejutkan Awang Abdul Zainidi, pembikin filem tempatan dan penerbit filem berkenaan apabila mengetahuinya dan menjelaskan bagaimana beliau dijemput sebagai panel yang dijalankan secara telesidang Zoom yang merangkumi pengarah-pengarah dan penerbit filem sebagai sebahagian daripada perbincangan bertajuk Moving Forward during COVID in Film.
Beliau berkata, perbincangan itu diadakan pada 20 Disember lalu dan sebelum itu, filem Worm and the Widow telah ditayangkan di negara ini selama seminggu di Times Cineplex dan di Tutong di mana ia mendapat sambutan positif.
Anugerah Kecemerlangan Filem telah disampaikan kepada Awang Abdul Zainidi oleh Penerbit Filem, Marc Buschet menerusi Zoom dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIFF, Tony Jia.
Menurut Awang Abdul Zainidi, beliau tidak menjangkakan apa-apa daripada panel itu, dan berharap ia bukan sahaja menunjukkan potensi pembikin filem tempatan di Brunei malah mengetengahkan potensi OKU dan ibu tunggal.
