Selepas meraih keuntungan besar hasil penayangan filem diterbitkan pada tahun lalu, Astro Shaw semakin bersemangat mengatur langkah dengan pembikinan karya layar perak berkualiti buat penonton.
Terbaharu, pemain industri utama perfileman tempatan itu bakal mempertaruhkan karya berjudul Wantugo arahan Nurhanisham Muhammad atau Labu yang dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini.
Menariknya, Wantugo juga adalah filem pertama Malaysia yang bergenre battle royale dengan barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha dan Elizabeth Tan.
Menurut Harian Metro, Zul, 39, yang dikenali dengan beberapa filem aksi hebat sebelum ini membawakan watak Khalif mengakui teruja dengan pembabitannya dalam naskhah Wantugo itu.
Katanya, Wantugo memiliki jalan cerita yang bagus selain berani untuk cuba mengetengahkan genre baharu, battle royale kepada penonton. Sekali gus usaha itu dilihat baik untuk industri filem tanah air.

“Selama aktif sebagai pelakon, saya sudah membawakan pelbagai watak sama ada dalam drama mahupun filem. Jadi, untuk karya Wantugo ini, saya fikir jalan ceritanya agak menarik selain dibarisi pelakon berkaliber lain.
“Saya akan cuba beri yang terbaik untuk watak saya dan semoga filem Wantugo ini berjaya. Apa pun, kejayaan sebuah filem pastinya secara berpasukan daripada pengarah dan gandingan pelakon juga,” katanya.
Genre battle royale menjurus kepada kisah sekumpulan individu yang diletakkan dalam satu persekitaran dan dipaksa bertarung sesama sendiri untuk kekal selamat.
Bersandarkan skrip ditulis Ashraf Modee Zain, filem Wantugo adalah terbitan bersama Astro Shaw dan Infinitus Productions Sdn Bhd yang sebelum ini menerbitkan filem seperti J Revolusi dan Don Dukun.
Penerbit Eksekutif Wantugo merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, Wantugo ialah sebuah filem survival thriller yang penuh teka-teki, menguji psikologi dan moral. – Agensi