Filip Kostic tundukkan Bayern Munich

BERLIN, 4 OKT – Julian Nagelsmann menerima kekalahan pertama sebagai pengurus Bayern Munich selepas Filip Kostic (gambar) meledak gol di akhir perlawanan untuk kemenangan 2-1 Eintracht Frankfurt.

Kostic menewaskan Manuel Neuer tujuh minit sebelum tamat perlawanan untuk memberikan Frankfurt kemenangan pertama mereka di Munich sejak lebih dua dekad dan kekalahan pertama buat Bayern musim ini.

“Kalah memang menyakitkan, tetapi kekalahan ini lebih perit kerana ia mampu dielakkan. Kami dihukum kerana tidak memanfaatkan peluang,” kata Nagelsmann.

Bayern melakukan 20 percubaan berbanding hanya lima oleh Frankfurt, tetapi gagal menterjemah penguasaan permainan kepada kemenangan dan terpaksa akur dengan kekalahan pertama dalam saingan liga di laman sendiri sejak tahun 2019. Bayern kini menyamai kutipan mata lawan seterusnya, Bayer Leverkusen yang menewaskan Arminia Bielefeld 3-0 untuk menghuni tangga kedua Bundesliga.

Jaringan Kostic juga memberikan Frankfurt kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini, sekali gus meredakan tekanan ke atas pengen-dalinya Oliver Glasner.

“Ini kali pertama saya menang di Munich sebagai jurulatih, dan saya sudah tentu tidak akan dapat melupakannya,” kata Glasner.

Leon Goretzka meletakkan Bayern di depan selepas menguasai 30 minit awal babak pertama, namun Martin Hinteregger menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu untuk menewaskan Neuer. – AFP