MANILA, FILIPINA, 26 SEPT – Pengawal pantai Filipina berkata ia telah mematuhi arahan presiden untuk mengalihkan penghadang terapung yang diletakkan oleh pengawal pantai China bagi menghalang bot nelayan Filipina daripada memasuki lagun di beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Pegawai Filipina mengecam pemasangan penghadang sepanjang 300 meter di pintu masuk ke lagun di Beting Scarborough sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara Asia Tenggara itu.
Pengawal pantai melaporkan kelmarin bahawa ia telah mengalihkan penghalang itu menekankan usaha Filipina yang semakin giat untuk melawan tindakan China yang semakin agresif, di salah satu perairan paling hangat dipertikaikan di dunia.
Kapal-kapal pengawal pantai China meletakkan tali dan penghadang pukat, diikat dengan boya, minggu lalu ketika sebuah kapal perikanan kerajaan Filipina menghampiri dan lebih 50 bot nelayan Filipina berkumpul di luar beting, kata pengawal pantai Filipina.
Ia menyatakan dalam satu kenyataan malam tadi bahawa ia berjaya mengalihkan penghadang boya dalam ‘operasi khas’ sebagai mematuhi perintah Presiden Ferdinand Marcos Jr.
Ia tidak memberikan butiran lain, seperti sama ada keseluruhan halangan itu dialihkan, bila operasi dijalankan dan bagaimana kapal pengawal pantai China, yang telah menjaga beting selama bertahun-tahun, bertindak balas. – AP