MANILA, 16 DIS – Kerajaan Filipina mengarahkan pihak berkuasa tempatan menyelesaikan pemindahan penduduk dalam zon bahaya sejauh enam kilometer di sekitar Gunung Kanlaon selewat-lewatnya hari ini berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi tersebut.
Gunung Kanlaon, yang terletak di antara wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental di pulau Negros, tengah Filipina, meletus pada 9 Disember lalu, memuntahkan abu yang mencapai lebih 4,000 meter ke udara.
Pengarah Pejabat Pertahanan Awam Wilayah Visayas Barat, Raul Fernandez, mengeluarkan arahan itu kepada pihak berkuasa tempatan di kedua-dua wilayah untuk memastikan pemindahan penduduk selesai sebelum tarikh akhir.
Arahan tersebut dibuat susulan peningkatan aktiviti gunung berapi, yang mendorong pihak berkuasa bertindak pantas untuk melindungi penduduk daripada bahaya yang mungkin berlaku.
Namun, terdapat beberapa penduduk yang enggan meninggalkan zon bahaya walaupun menghadapi ancaman letusan besar yang lain.
Penduduk yang belum berpindah diminta mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko yang berkaitan dengan kemungkinan letusan semula, kata Fernandez.
Beliau menambah bahawa kerajaan telah melaksanakan strategi pemindahan menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan sekiranya berlaku letusan besar.
Pada Jumaat lalu, Presiden Ferdinand Romualdez Marcos berkata kerajaan telah memindahkan lebih 45,000 penduduk dari kampung-kampung sekitar gunung berapi tersebut ke tempat yang lebih selamat.
Marcos juga menyatakan bahawa kerajaan menyasarkan pemindahan sekitar 84,000 penduduk dalam zon bahaya.
Setakat kelmarin, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) melaporkan aktiviti gempa bumi gunung berapi dan pelepasan gas terus meningkat, manakala struktur gunung tersebut dilaporkan mengembang.
PHIVOLCS memberi amaran bahawa aktiviti tersebut berpotensi membawa kepada letusan berbahaya yang lain. – Xinhua