MANILA, 1 JULAI – Tentera Darat Filipina (PA) hari ini memaklumkan telah melaksanakan latihan perang siber selama enam minggu bersama Angkatan Pertahanan Australia (ADF) bagi memperkukuh pertahanan dan daya tahan siber mereka melalui operasi siber kolaboratif.
Agensi berita Filipina melaporkan latihan yang dinamakan Joint Defence Forward Training Activity itu diadakan di ibu pejabat Tentera Darat di Fort Bonifacio, Taguig City dari pertengahan Mei hingga 26 Jun, menurut jurucakap PA, Kolonel Louie Dema-ala dalam satu kenyataan.
“Latihan ini bertujuan memperkukuh pertahanan dan daya tahan siber melalui operasi siber kolaboratif yang memberi tumpuan kepada pengesanan, analisis dan pengurangan ancaman digital canggih,” kata Dema-ala.
Antara aktiviti utama dalam latihan itu,termasuk forensik perisian hasad secara bersama, pertukaran risikan ancaman lanjutan, serta kejuruteraan balikan perisian hasad.
Dema-ala berkata aktiviti-aktiviti itu membolehkan kedua-dua pasukan memperoleh pemahaman kritikal mengenai ancaman siber semasa dan baru muncul.
Beliau menambah bahawa latihan itu juga mengukuhkan perkongsian strategik antara Filipina dan Australia dalam menangani cabaran dinamik ruang siber dan pepera-ngan hibrid. – Bernama


