MANILA, 7 NOV – Filipina mengumumkan hari ini bahawa pengawal pantainya akan membeli 40 kapal rondaan pantas dari Perancis.
Perjanjian itu merupakan pembelian tunggal terbesar setakat ini dalam usaha Manila untuk memodenkan pengawal pantainya, dengan penghantaran dijangka bermula dalam empat tahun, kata Komander Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Ronnie Gil Gavan dalam satu sidang media.
Beliau enggan memberikan spesifikasi bagi kapal-kapal tersebut, yang menurut Manila akan berharga lebih kurang AS$440 juta, yang akan dibiayai melalui bantuan pembangunan dari kerajaan Perancis.
Beliau berkata beberapa kapal akan ditempatkan di Laut China Selatan.
“Ia adalah perubahan besar untuk kami,” kata Gavan, menggambarkan kapal-kapal itu sebagai “cukup pantas untuk sampai ke pinggir zon ekonomi eksklusif kami” untuk penguatkuasaan undang-undang dan misi-misi lain.
“Ini akan menjadi sebahagian daripada gabungan kekuatan yang kami perlukan untuk menangani ancaman di kawasan tersebut,” tambahnya.
Di bawah perjanjian tersebut, 20 daripada 40 kapal akan dibina di Filipina melalui pemindahan teknologi yang menurut Gavan akan memberi rangsangan kepada industri pembinaan kapal Manila.
“Kapal rondaan pantas baharu ini akan membantu mencegah penyeludupan dan aktiviti haram sambil memastikan penguatkuasaan kedaulatan maritim di kawasan laut yang kritikal,” kata Setiausaha Perancangan Ekonomi, Arsenio Balisacan dalam satu kenyataan. – AFP