Filipina berkas 277 warga China

MANILA, 13 SEPT – Pegawai Filipina hari ini mengatakan ejen imigresen memberkas 277 warga China dalam satu serbuan ke atas sindiket pelaburan online yang menipu beratus-ratus mangsa di tanah besar China.

Pesuruhjaya Imigresen Jaime Morente mengatakan penangkapan pada Rabu di daerah kewangan Ortigas di bandar Pasig, Manila dibuat selepas kedutaan China menyalurkan maklumat mengenai penipuan pelaburan itu yang menjadikan 1,000 warga China sebagai mangsanya. Serbuan dibuat dengan kerjasama dari China.

Menurut Morente, dia pada awalnya mengarahkan penahanan empat suspek warga China namun pihak penguat kuasa menangkap 273 yang lain ‘ketika melakukan operasi haram online’ dan menambah bahawa pegawai China memberitahu rakan sejawatan Filipina bahawa mereka yang ditangkap dikehendaki bagi penipuan besar-besaran di China dengan pasport mereka sudah pun dibatalkan. – AP