WELLINGTON, 25 JULAI – Filipina berjaya mencatat sejarah apabila memenangi perlawanan Piala Dunia buat kali pertama dengan mengejutkan tuan rumah New Zealand pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi.
Sementara itu, pemain bintang remaja, Linda Caicedo, turut menonjol dengan golnya membantu Colombia mengatasi Korea Selatan.
Jurulatih Filipina, Alen Stajcic, menyatakan menjelang perlawanan menentang New Zealand bahawa skuad pasukannya berhasrat ingin ‘mengadakan parti,’ dan hasratnya itu akhirnya tercapai dengan kemenangan cemerlang di hadapan 32,357 penyokong yang hadir di Wellington.
Kemenangan itu dicorakkan oleh gol yang dihasilkan oleh Sarina Bolden melalui tandukan pada separuh masa pertama, menjadikan ia kemenangan pertama bagi Filipina di Piala Dunia, sama ada dalam kategori lelaki mahupun wanita. Kejayaan itu juga menambah saingan dalam Kumpulan A.
Selepas terpaksa akur dengan kekalahan 2-0 kepada Switzerland dalam perlawanan sulung Piala Dunia, Filipina akan berentap bertemu Norway pada Ahad dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan. Dalam masa yang sama, New Zealand akan menentang Switzerland dengan perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan.

Norway juga akan berhadapan dengan Switzerland hari ini.
“Saya tidak percaya dengan apa yang telah kami capai,” ujar pemain tengah Filipina, Sara Eggesvik yang sebak dengan kemenangan tersebut. “Ia membuktikan bahawa kami mampu mencipta sesuatu yang besar,” ujarnya.
Walaupun jaringan yang dihasilkan oleh Bolden mungkin tidak menarik, namun bagi mereka, ia adalah hasil usaha yang bersungguh-sungguh. Selepas New Zealand melepaskan sepakan percuma, Bolden melompat lebih tinggi berbanding pertahanan tuan rumah dan menghantar bola ke dalam gawang selepas usaha penjaga gol, Victoria Esson, untuk menepisnya gagal.
New Zealand berusaha untuk mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, namun usaha mereka terbantut oleh pertahanan kukuh Filipina. – AFP