Filipina catat kes demam khinzir Afrika pertama

MANILA, 9 SEPT – Filipina hari ini melaporkan kes pertama demam khinzir Afrika, menjadi negara terbaharu yang dilanda penyakit tersebut yang telah membunuh khinzir dari Slovakia ke China, sekali gus mendorong harga daging khinzir naik di seluruh dunia.

Virus tersebut tidak berbahaya kepada manusia tetapi mengakibatkan demam berdarah dalam khinzir yang selalunya membawa kepada kematian.

Tidak ada penawar atau vaksin dan satu-satunya kaedah untuk menghalang penyakit tersebut daripada merebak adalah pembunuhan haiwan ternakan yang terjejas.

Khinzir yang dijangkiti ditemui di dua buah bandar berhampiran ibu negara Filipina Manila dan pihak berkuasa telah membunuh lebih daripada 7,000 khinzir dalam jarak satu kilometer, kata Setiausaha Pertanian William Dar.

Dar berkata 14 daripada 20 sampel yang dihantar ke makmal UK diuji positif dijangkiti demam khinzir Afrika, namun ia akan mengambil satu minggu lagi untuk mengesahkan jenis virus berkenaan.

Virus itu pertama dicatat di bandar Rodriguez, 10 kilometer dari timur Manila. Kawasan lain yang tidak didedah masih dipantau untuk kemungkinan jangkitan, tambah beliau. – AFP