MANILA – Di sebuah terminal motosikal roda tiga yang sibuk di Manila, penunggang bernama Edgar Soriano memasukkan sekeping syiling ke dalam mesin karaoke dan menyanyikan lagu kegemarannya sambil menunggu penumpang.
Karaoke sangat popular di negara kepulauan itu di mana tidak kira waktu pagi atau malam, sesi memegang mikrofon dan menyanyi lagu adalah perkara biasa.
Mesin-mesin karaoke boleh ditemui di mana-mana, dari bar murah di kampung-kampung terpencil hingga ke pusat KTV moden di bandar-bandar dan banyak keluarga memiliki mesin karaoke sendiri atau menyewanya untuk majlis-majlis.
Dengan hanya AS$0.09 untuk sebuah lagu, kebanyakan orang di negara yang dilanda kemiskinan itu masih boleh menikmati beberapa minit hiburan dengan kos yang rendah setiap hari.
Soriano, 53 tahun, tersenyum ketika berdiri di sebuah kedai makan kecil pada waktu tengah hari yang panas sambil menyanyikan lagu When I’m Gone, oleh pemuzik British, Albert Hammond.




Mesin karaoke itu merupakan salah satu daripada enam mesin yang terdapat di terminal tersebut, tetapi penunggang motosikal dan penumpang yang menunggu nampaknya tidak kisah dengan lagu-lagu yang bersaing melalui pembesar suara.
“Saya selalu menyanyikan lagu itu, ia adalah lagu kegemaran saya,” kata Soriano, yang memakai baju lengan panjang Jordan dan seluar sukan.
Setelah merujuk kepada folder plastik yang sudah usang berisi lagu-lagu, penyapu jalanan Bernardo Aguire, 67, memilih lagu My Way oleh Frank Sinatra dan memasukkan sekeping syiling ke dalam slot.
Ini adalah pilihan berani di negara di mana dikatakan lagu itu pernah menyebabkan orang dibunuh, mungkin kerana mereka menyanyikannya dengan buruk.
Aguire, tidak terganggu dengan cerita-cerita yang telah menjadi legenda bandar, menghabiskan nyanyiannya tanpa sebarang masalah.
Felomina Hernane, 52, memiliki kedai makan di mana mesin karaoke dihidupkan pada pukul 8 pagi dan tidak berhenti sehingga pukul 10 malam atau lebih, tujuh hari seminggu.
Dia membeli mesin tersebut untuk menarik pelanggan dan itu merupakan keuntungan besar bagi pendapatannya, yang meraih sebanyak AS$317 sebulan.
“Ini sangat membantu perniagaan saya,” kata Hernane kepada AFP.
Menyanyi membuat penunggang-penunggang motosikal gembira, tambahnya.
“Ia menghiburkan mereka. Ini merupakan cara untuk berehat selepas memandu,” katanya.
‘IA MENGHILANGKAN TEKANAN SAYA’
Di sebuah kawasan yang padat dengan penduduk di Manila, motosikal roda tiga menghantar kotak-kotak mesin karaoke ke kedai-kedai di mana ia akan dipasangkan dengan pembesar suara, penguat bunyi dan televisyen.
Harganya bergantung kepada kualiti elektronik yang terdapat di dalam mesin karaoke tersebut, dengan mesin asas bermula pada kira-kira AS$335 dan versi premium boleh mencecah AS$811.
Alfred Condez bekerja di sebuah kedai yang dipenuhi dengan mesin-mesin dalam pelbagai peringkat pemasangan. Ia mengambil masa beberapa jam untuk pekerja-pekerja menyiapkan pemasangan satu mesin dan para pelanggan biasanya tidak kisah untuk menunggu.
“Kami suka menyanyi,” kata Condez yang berusia 40 tahun.
Seolah-olah untuk membuktikan pendapatnya, dia mengambil mikrofon dan berdiri di tepi jalan untuk menguji kualiti bunyi mesin yang telah dipasang, suaranya yang dalam bergema di sepanjang jalan yang bising.
November dan Disember adalah bulan paling sibuk bagi perniagaan pemasangan karaoke, ketika rakyat Filipina mengadakan majlis parti Krismas dan Tahun Baharu, kata Condez.
Kedainya menjual sehingga 10 mesin sehari pada bulan-bulan tersebut.
Karaoke mula popular di Filipina pada tahun 1980an, kata Krina Cayabyab, seorang jurulatih vokal dan pembantu profesor di jabatan muzik Universiti Filipina.
Tetapi katanya, kecintaan negara itu terhadap aktiviti menyanyi adalah berpunca daripada sejarah kolonial negara itu, bermula dengan penjajahan Sepanyol dan kemudian Amerika, di mana muzik mereka telah diserap oleh rakyat Filipina.
“Ia benar-benar berkaitan dengan penghasilan semula dan adaptasi unsur-unsur budaya yang dipinjam yang didengari oleh rakyat Filipina,” kata Cayabyab.
Sesetengah ibu bapa – jika mereka mampu memberikan pendidikan – akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah muzik untuk belajar menyanyi supaya mereka dapat membina keyakinan untuk membuat persembahan di hadapan orang lain, tambahnya.
Bagi kebanyakan orang Filipina, karaoke adalah salah satu pilihan hiburan yang mampu milik bagi mereka.
Di Daerah Manila yang dilanda kesukaran hidup, kanak-kanak dan orang dewasa berkumpul di luar sebuah kedai kecil di mana mesin karaoke sangat diminati.
“Saya dan kawan-kawan hanya berkumpul kerana berasa bosan di rumah,” kata Honey Servito yang berusia 24. tahun.
“Sebenarnya, saya bukanlah penyanyi, tetapi apabila kami tidak mempunyai apa-apa aktiviti yang lebih baik di rumah, saya dan rakan-rakan akan datang ke sini dan menyanyi,” katanya. “Ia menghilangkan tekanan dan rasa bosan saya.” – AFP

