ANKARA, 8 OGOS – Filipina kelmarin menolak gesaan China untuk mengalihkan kapal perangnya dari terumbu di Kepulauan Spratly yang dipertikaikan berikutan insiden tembakan meriam air oleh kapal Pengawal Pantai China ke atas kapalnya.
Manila memberitahu Beijing bahawa ia tidak akan meninggalkan beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan, menuduh pengawal pantai China melakukan “tindakan berbahaya” serta menyasarkan satu daripada kapalnya dengan laser, lapor agensi Anadolu.
Seorang pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Filipina, Jonathan Malaya berkata peningkatan kehadiran China di Beting Thomas Kedua yang juga digelar sebagai Beting Ayungin tidak akan menyekat keazaman Filipina untuk melindungi kedudukannya di sana.
Manila sengaja mendaratkan kapal perang era Perang Dunia Kedua pada 1999 untuk mengukuhkan tuntutan kedaulatan Filipina.
“Kami akan terus menempatkan tentera di dalam kapal di terumbu itu selama mana yang diperlukan,” kata Malaya pada sidang media bersama tentera, Pengawal Pantai Filipina (PCG) dan Kementerian Luar Filipina.
Beijing menggesa Manila untuk mengalihkan kapal perang itu sambil mempertahankan tindakan pengawal pantainya sebagai “profesional dan terkawal.” – Bernama