Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina, EU wujud dialog pertahanan baharu

    MANILA, 2 JUN – Filipina dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mewujudkan dialog bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, khususnya dalam menangani cabaran baharu seperti ancaman siber, campur tangan asing dan manipulasi maklumat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

    Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo dan Ketua Dasar Luar EU merangkap Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas, telah mengumumkan perkara itu selepas menghadiri mesyuarat makan tengah hari di Makati City, hari ini.

    Manalo berkata mekanisme itu akan menyediakan platform kepada Filipina dan EU untuk membincangkan isu berkaitan keselamatan dan pertahanan secara lebih mendalam dan teratur.

    “Sebagai rakan kongsi yang sehaluan dan komited terhadap orde antarabangsa berasaskan peraturan, kami berharap melalui dialog keselamatan dan pertahanan ini, kami akan terus proaktif dan bersatu dalam menangani ancaman dan cabaran keselamatan rentas sempadan,” katanya.

    Kallas berkata dialog itu akan membolehkan pertukaran kepakaran serta meneroka kemungkinan inisiatif bersama dalam bidang keselamatan dan pertahanan ‘yang menyumbang kepada keselamatan serantau dan global’.

    “Skop kerja kami akan menyeluruh, merangkumi keselamatan maritim, keselamatan siber, manipulasi dan campur tangan maklumat asing, memerangi keganasan, tindak balas krisis dan banyak lagi,” katanya.

    Kedua-dua diplomat utama itu menyatakan dialog baharu itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan Filipina-EU, yang menurut Kallas semakin berkembang dalam ‘trajektori positif’.

    Tiada tarikh ditetapkan bagi mesyuarat pertama dialog itu. – Bernama 

    Kaja Kallas semasa menghadiri sidang media di Belgrade, Serbia, pada 22 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda