Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina gantung pesawat syarikat selepas kebakaran

    MANILA, FILIPINA, 30 MAC – Para pegawai penerbangan Filipina hari ini menggantung semua pesawat penerbangan kepunyaan sebuah syarikat yang pesawatnya terbakar setelah berlepas dari lapangan terbang Manila, membunuh semua kelapan-lapan penumpang di dalamnya.

    Semua pesawat Lionair Inc akan kekal digantung semasa siasatan ke atas pesawat Westwind 24 yang terbakar lewat kelmarin, kata mereka. Pesawat itu telah digunakan sebelumnya untuk mengangkut bekalan perubatan bagi wabak koronavirus.

    Lionair, syarikat carter berpangkalan di Filipina, tidak berkaitan dengan Lion Air, sebuah pesawat penerbangan tambang rendah Indonesia.

    Pesawat enjin kembar itu dalam misi pemindahan perubatan ketika ia terbakar.

    Dua penumpang – dari Amerika Syarikat dan Kanada – dan enam kru penerbangan Filipina dan kakitangan perubatan meninggal dunia apabila pesawat yang hendak menuju ke Tokyo itu terbakar di landasan lapangan terbang utama, kata pengurus besar lapangan terbang, Ed Monreal.

    Kebakaran itu mencetuskan penutupan landasan utama lapangan terbang dan menyebabkan sebuah pesawat penerbangan diubah haluannya.

    Perakam suara kokpit pesawat itu telah ditemui oleh para penyiasat, kata para pegawai.

    Lionair tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kemalangan itu. Ia menyewa jet eksekutif, helikopter dan pesawat bagi perjalanan domestik dan luar negara, termasuk pesawat kecemasan perubatan. Tidak jelas berapa banyak pesawat udara syarikat itu beroperasi. – AP

    Para penyelamat berdiri dekat pesawat Westwind yang rentung selepas ia terbakar semasa berlepas di lapangan terbang antarabangsa Manila di Manila pada 29 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda