MANILA, 3 MEI – Filipina menghentikan semua penerbangan penumpang yang memasuki negara mulai hari ini untuk mengosongkan pusat kuarantin yang dipenuhi dengan ribuan pekerja pendatang yang pulang ketika pandemik koronavirus.
Jutaan warga Filipina bekerja di luar negara, dengan Arab Saudi, UAE, Singapura dan Qatar antara destinasi paling popular.
Kira-kira 24,000 orang telah pun pulang, kebanyakan mereka selepas kehilangan pekerjaan tatkala ekonomi global dilumpuhkan oleh virus tersebut.
Mereka yang pulang diwajibkan menamatkan kuarantin 14 hari di pusat yang dibina atau diubahsuai oleh kerajaan yang kini sudah pun penuh sesak.
“Sekatan penerbangan baharu akan dilaksanakan selama seminggu untuk memberikan kerajaan peluang bagi mengosongkan pusat kuarantin di Metro Manila,” kata pegawai kerajaan Carlito Galvez dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu sekali gus menggantung program repatriasi untuk pekerja yang terjejas oleh pandemik, dan kerajaan telah memberitahu mereka supaya tinggal di negara hos untuk masa sekarang.
Bagaimanapun, penerbangan keluar negara dibenarkan beroperasi, termasuk mereka yang membawa warga asing yang terkandas ke luar negara. Filipina telah menjadikan beberapa pusat konvensyen, kapal, hotel dan pusat kerajaan sebagai pusat kuarantin tatkala jumlah orang yang terjejas oleh koronavirus meningkat.
Hari ini, negara itu melaporkan lebih 9,200 kes dan 607 kematian, walaupun disebabkan kapasiti ujian terhad jumlah tersebut dipercayai adalah lebih tinggi. – AFP