Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina janji tangkap dalang ‘projek hantu’ kawalan banjir

    MANILA, 13 NOV – Presiden Filipina berikrar hari ini, setiap individu yang terlibat dalam projek kawalan banjir palsu akan ditangkap sebelum Krismas, beberapa hari selepas dua taufan berturut-turut yang membawa maut menyebabkan sebahagian besar negara itu dilanda banjir.

    Berpuluh-puluh pemilik syarikat pembinaan, pegawai kerajaan dan ahli parlimen termasuk sepupu Presiden Ferdinand Marcos sendiri telah dituduh menyeleweng dana bagi projek infrastruktur yang tidak berkualiti atau dikatakan ‘projek hantu’.

    Kementerian Kewangan menganggarkan ekonomi Filipina mengalami kerugian sehingga 118.5 bilion peso (sekitar AS$2 bilion) dari tahun 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir.

    Marcos memberitahu media, kes jenayah terhadap kebanyakan individu yang terlibat hampir selesai.

    “Kita tidak memfailkan kes untuk menunjukkan imej semata-mata. Kita failkan kes untuk memastikan mereka dipenjara,” katanya. “Mereka tidak akan menikmati Krismas yang gembira, hari-hari bahagia sudah berakhir.”

    Marcos menjadikan isu projek infrastruktur hantu sebagai tumpuan utama dalam ucapan dasar negara pada Julai lalu dan kemarahan rakyat terhadap isu itu semakin meningkat sejak itu.

    Apabila ditanya sama ada sepupunya Martin Romualdezjuga akan berdepan tuduhan, Marcos berkata, “belum lagi”, dengan alasan kekurangan bukti, namun menegaskan bahawa “tiada siapa yang terkecuali dalam siasatan ini.”

    Filipina masih bergelut dengan kemusnahan akibat bekas Taufan Super Fung-wong, yang melanda negara itu pada malam Ahad, menenggelamkan ratusan kampung dan meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa.

    Fung-wong melanda hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegimenghentam bahagian tengah negara kepulauan itu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 232 orang. – AFP

    Marcos menjadikan isu projek infrastruktur hantu sebagai tumpuan utama dalam ucapan dasar negara pada Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda