Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina, Jepun umum pakatan pertahanan

    MANILA, 3 NOV – Jepun dan Filipina hari ini berkata bahawa mereka akan memulakan rundingan bagi pakatan pertahanan yang akan membolehkan negara-negara itu mengerahkan tentera di wilayah masing-masing.

    Tokyo dan Manila sekutu lama Washington sedang mempertingkatkan kerjasama pertahanan ketika mereka berusaha untuk menentang tekanan tentera China yang semakin meningkat.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan permulaan rundingan bagi perjanjian akses timbal balik di Manila.

    Perjanjian itu akan mewujudkan asas undang-undang bagi negara-negara berkenaan untuk menghantar anggota pertahanan ke wilayah masing-masing untuk latihan dan operasi-operasi lain.

    “Kami menyedari faedah mengadakan pengaturan ini kepada anggota pertahanan dan tentera kami serta untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau kami,” kata Marcos, sambil berdiri di sebelah Kishida di istana presiden.

    Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. (kanan) berjabat tangan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di istana presiden Malacanang di Manila, Filipina, kelmarin. – AP

    Kishida berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina.

    Jepun akan membantu ‘meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim Filipina termasuk penyediaan kapal peronda dan peralatan pertahanan serta kerjasama teknologi,” kata Kishida.

    Jepun akan menyediakan Filipina dengan sistem pengawasan radar pantai sebagai sebahagian dari-pada pakej bantuan keselamatan bernilai 600 juta yen (AS$4 juta), kata para pemimpin tersebut.

    Kishida merupakan perdana menteri Jepun yang pertama melawat Filipina sejak 2017.

    Beliau dijadualkan berucap pada sesi khas bersama Kongres esok pemimpin Jepun pertama berbuat demikian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda