Wednesday, April 9, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina, Kanada meterai pakatan pertahanan

    MANILA, 7 MAC – Kanada dan Filipina telah menyelesaikan rundingan bagi satu perjanjian pertahanan penting yang akan membolehkan pasukan mereka mengadakan latihan tempur bersama serta memperkukuh kerjasama pertahanan, kata Jabatan Pertahanan Negara di Manila hari ini.

    Kanada dan negara Barat lain telah mempertingkatkan kehadiran ketenteraan mereka di Indo-Pasifik bagi membantu menegakkan kedaulatan undang-undang serta mengembangkan perdagangan dan pelaburan di rantau itu.

    Langkah itu selari dengan usaha Filipina di bawah kepimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk memperluaskan hubungan pertahanan dengan negara sahabat bagi memperkukuh pertahanan negaranya.

    Perjanjian dengan Kanada “akan mewujudkan rangka kerja bagi meningkatkan kerjasama, mempererat hubungan antara institusi pertahanan dan ketenteraan, meningkatkan keupayaan operasi bersama serta memudahkan latihan bersama dan program peningkatan kapasiti yang lebih berkesan,” menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Filipina.

    Perjanjian itu dijangka membolehkan latihan bersama berskala lebih besar, termasuk di Laut China Selatan di perairan barat Filipina.

    Tarikh rasmi bagi menandatangani perjanjian tersebut belum diumumkan, namun seorang pegawai Filipina menyatakan ia berkemungkinan dimeterai dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – AP

    Anggota Tentera Laut Filipina memerhati kapal Kanada HMCS Montreal (FFH336) semasa Aktiviti Kerjasama Maritim Pelbagai Hala yang diadakan di Laut Filipina Barat pada 7 Ogos 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda